Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

06 September 2010

Flashback and Zoom Forward


Alhamdulillah kita semua masih disapa dengan nikmat ‘sampai’ kepada hari ini, 28 ramadhan..


Mari kita flashback, apa agaknya aktiviti kita pada…


20 Ramadhan, yakni Isnin lepas..

Bermula sebelum sahur..

Selepas Subuh

Sebelum Zohor

Setelah berbuka


sehinggalah sahur hari berikutnya...


Kemudian 21 Ramadhan, Selasa lepas.


22, 23 Ramadhan pula apa agaknya tentatif kita..


Seterusnya 24, 25, 26, 27….sehinggalah sekarang..


Agak-agaknya jika Laitatul Qadr yang diburu jatuh pada salah satu hari yang kita flashback tadi, apa agaknya yang kita peroleh??


Sesuaikah perolehan kita itu sepertimana doa kita tempoh hari? (Allahumma balliaghna Ramadhan)




Anak-anak, abang-abang, adik-adik, kakak-kakak, ibu-ibu, bapak-bapak, pakcik-pakcik, makcik-makcik, tuan-tuan, puan-puan, dato-dato, datin-datin yang saya kasihi sekalian…


Saya pasti anda sudah tidak sabar lagi mahu menempa sujud dan berdoa padaNya sementara masih ada Ramadhan 48 jam lebih lagi..


Saya juga pasti anda sudah tidak sabar-sabar merebut berpuasa enam menjelang Syawal nanti.


Dan yang paling pasti, saya yakin kita semua semakin hampir ke penghujung Madrasah Ramadhan dan bakal menerima skrol ijazah ramadhan 1431 H. Dan tidak sabar-sabar lagi mengamalkan hasil tarbiyah tersebut bukan sahaja Syawal, malah Zulqa’dah, Zulhijjah, Muharram, Safar, …sehinggalah tiba lagi ramadhan 1432 H yang akan datang… Untuk menyambung postgraduate (master) pula barangkali.



Selamat beramal!

-LM-

Leia Mais…

28 May 2010

Susah yang mengundang Berkah



Tabung kuliah bertukar dari tangan ke tangan. Jauh lagi tu.. Tangan meraba-raba uncang duit. Ada sekeping sepuluh ringgit, 3 keping not seringgit. Ni je yang ade. Habiskan je la duit kecik ni. 3 keping seringgit dikeluarkan dan disimpan cermat dalam genggaman tangan.

“Kalau kamu rasa susah nak berinfaq, merasa risaulah. Bila rasa lagi susah nak bersedekah itulah, kamu lagilah kena bersedekah. Jangan sampai Allah tarik balik kesempatan berinfaq ni satu hari nanti.” Suara Ustaz Syakir terngiang-ngiang.

Meraba-raba balik uncang tadi. “Harta yang di tangan kamu, bank-bank kamu tu bukan sebenar-benar aset. Harta kamu ialah harta yang disumbangkan fi sabilillah. Fikir balik berapa banyak harta yang kamu dah masuk dalam ‘akaun’ sebenar tu.”


Akhirnya tabung kuliah betul-betul di depan mata. Moga-moga nilai sepuluh ini selamat sampai ke akaun yang lagi satu tuh.




Pengalaman saya sendiri, saya merasakan kenapa perlu bersusah payah ke bank semata-mata untuk memasukkan RM5 untuk menyumbang ke program kawan-kawan. Bila saya sendiri melaluinya, barulah saya merasai betapa berharganya nilai RM5 yang dirasakan sedikit itu, tetapi membawa makna yang besar kepada kami. Kalaulah semua berfikiran begitu. Sehinggakan seorang ustaz pernah berkata, "Kalau takde langsung apa-apa nak disumbang pun, bila lalu kat tabung tu, buat-buat la letak tangan pada tabung. Doa supaya nikmat memberi infak ni tak ditarik."


Harap jangan disalah anggap tujuan saya menulis cerita di atas. Saya menyampaikan apa yang dirasakan dari hati. Dan mengambil peluang ini menawarkan peluang untuk saudara-saudara sekalian beramal. Dengan ini saya ingin mengumumkan:


Sumbangan anda juga boleh disalurkan ke:


CIMB: 14440067444527

Bank Islam: 12029020299276

BSN: 1310329000107256


atas nama Bendahari KRIS'10 Zon Utara, Nur Izzati Binti Ishak (hubungi 013-2465179). Sila maklumkan jumlah sumbangan.


Kepada sahabat, rakan-rakan, orang perseorangan yang telah menyumbang, langsung atau tidak langsung kami mengucapkan jutaan terima kasih.


Moga rasa susah itu digantikan dengan berkah.

Leia Mais…

02 May 2010

Siri pulanglah Aishah 2

“Err…err. Sebenarnya cikgu tak ada masalah apa-apapun. Kalau ada pun, insyaallah saya boleh settle sendiri. Yang pasal gred menurun ni pun sebab saya ada cuai sikit semasa menjawab cikgu.” Siti cuba meyakinkan gurunya.



Sememangnya grednya culas sedikit kerana dia ada kecuaian semasa menjawab peperiksaan yang berkenaan.

“Cikgu nak tanya ni, tapi kamu jangan terkejut ye. Dengar dulu. Betul ke, cikgu ada dengar dari kawan kamu yang kamu ada masalah bercinta?

Hah, bercinta? Siti menggaru hidungnya yang bertahi lalat.

“Mana cikgu dengar ni? Saya tak bercinta dengan sesiapa.” Selidik Siti, suaranya agak perlahan kerana menahan marah. Matanya mulai merah dan berair.

“Adalah cikgu dengar. Sebenarnya Siti, cikgu-cikgu lain pun ada jugak bercerita. Itu yang cikgu tak boleh diamkan saja ni. Paling cikgu tak boleh diamkan ada yang mengatakan awak berdua-duaan dalam kelas selepas prep petang.

Kriiiing!

“Cikgu, nanti kita bincang semula ye. Yang saya boleh bagitahu, apa yang diberitahu tadi ialah tidak benar. Terima kasih cikgu.” Siti bergegas ke kelas setelah bersalaman dengan kaunselornya itu.

Kali ini kesabaran Siti sudah tidak tertahan lagi. Dia hendak membuktikan yang fitnah tersebut adalah palsu, bahawa tiada sesiapa yang suka pada sesiapa dalam hal itu, dan semua yang diberitakan adalah fitnah belaka. Siti geram dan tidak sangka perkara itu telah menjadi buah mulut di kalangan guru.

Semua orang tidak percayakan aku! Terasa berat kepala yang selama ini ditanggungnya berjalan. Jelingan tajam beberapa rakan sekelasnya pada hari itu seolah-olah mengiyakan kepercayaan palsunya tadi. Semua orang anggap aku budak jahat!

Esoknya.
Eh, tengok tu. Farizan mencuit Aiman. Bengkak sekeliling mata Siti. Bertambah kecil mata yang sepet separuh kuyu itu.
“Awak menangis Siti?” Tanya sahabat-sahabat yang positif dengannya selama ini.

“A’ah, sedihnya saya. Awak pun ada dengar apa-apa pasal saya ke?”

“Takpelah Siti, jangan peduli dengan diorang. Diorang memang macamtu. Kami pun pernah kena.”

"Tapi kali ni teruk."

"Itu yang diorang nak. Nak awak kalah. Awak tak boleh kalah Siti."

Siti rasa terpujuk dengan kata-kata sahabatnya itu, tetapi jiwanya tetap berkecil hati dengan sikap orang-orang yang memfitnahnya. Dalam hatinya dia ingin membuktikan bahawa dia pun sebaik mereka yang lain.

Ternyata kali ini strategi rakan-rakannya berjaya. Ramai yang berpihak kepada geng berpengaruh yang terdahulu. Siti merasai dirinya dipulaukan. Kadang-kadang gelak ketawa rakan lelaki sekelasnya ataupun rakan-rakan sebelah dirasakan ditujukan kepadanya. “Itulah, rasa baik sangat.” Agaknya itu yang diorang cakap pasal aku.. Siti paranoid.

Akhirnya Siti kalah dengan prinsipnya. Esoknya dia tidak lagi bertudung ke sekolah. Fobia diejek rakan sekolah. “Aku nak buktikan aku ni baik walaupun tak bertudung. Yang penting hati aku tak sakit lagi.”

Perubahan itu sekali lagi menjadi buah mulut setiap orang di sekolah. Iblis sudah tentu bertepuk riang dengan perubahan itu.

Keadaan ternyata berubah. Siti merasakan semua orang telah mula menerimanya semula. Pada pendapat Siti,

“Biarlah aku tak bertudung dan baik, at least aku tak macam budak-budak bertudung yang nampak baik tu.”

Ditakdirkan Allah, setelah beberapa lama, sudah reda fitnah yang menghantui Siti satu ketika dulu. Itupun kerana tindakan guru kaunselingnya yang menerangkan kepada guru-guru lain dan beberapa pelajar tentang hal sebenar. Rahmat Allah sebenarnya. Siti tetap tidak bertudung.

Minggu itu ialah minggu bermalam dan Siti pulang ke rumah seperti yang dilakukannya saban waktu. Bersila di atas katil mengadap komputer riba.

Buzz!!!!!

Kak na: Salam. Apa khabar?
CT_e-cah: Hehe. Biasa-biasa aja. Sihat. Kak na dll sihat?
Kak Na: Alhamdulillah. Smua sihat. Cuma banyak sikit kerja rumah Kak Na.Minggu depan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar.
CT_e-cah: Byk la ye kerja Cikgu Amalina ni. Chat bleh pulak. Hehe.
Kak Na: Ish. Kalau Siti punya pasal. Boleh je Kak Na chat.
CT_e-cah: Aik!.. “Ct punye pasal”?<-----ape ni Kak na?
Kak Na: Jangan terkejut pulak. Kak na dah lama dah nak cakap benda ni.

Tipikal. Siti sudah mengagak.

Bersambung..

Leia Mais…

28 April 2010

Bittaufiq

"Allah SWT melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi
(bagi sesiapa yang Dia kehendaki). Mereka bergembira dengan kehidupan dunia,
padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan (yang sedikit) dibanding
kehidupan
akhirat."
Ar-Ra'd 13: 26

Alhamdulillah. Sudah 7 tahun usia kita di sini. Syabbass, generasi pertama FPSK USIM. Selamat melangkah ke tahun akhir Mei ini.

Alhamdulillah. Bermakna sudah 4 tahun kita menghabiskan (baca:memanfaatkan) masa dengan generasi kedua. Bakal tahun 5 sem baru ini.

Alhamdulillah. Kitaran tahun demi tahun menyaksikan kini hampir 3 batch FPSK yang akan memasuki fasa klinikal. Tahniah generasi ketiga FPSK USIM.

Alhamdulillah. Pada masa yang sama generasi keempat baru sahaja selesai menduduki first professional exam mereka.

Alhamdulillah. Generasi kelima kita pun baru sahaja menduduki pre-first professional exam mereka.

Alhamdulillah kita bakal menerima adik baru, dari tamhidi. Satu lagi generasi baru.

Lantaran itu, mana mungkin kami lupa pada sahabat-sahabat yang masih lagi perlu berjuang melepasi setiap tangga-tangga tersebut dengan payahnya. Jalan yang pernah kami faham perih mengharunginya setiap peringkat dengan pelbagai rasa dan rencah selama ni.
~Selamat berjuang bagi adik-adik yang sedang viva hari ini, dan yang akan menghadapi supplement nanti. Bittaufiq wannajah. All the best. Gambate ne. Doa kami untuk kalian.

P/s: Tak lupa juga kepada sahabat yang baru sahaja dan akan mendirikan rumah tangga..

Barakallahulakuma wabaraka alaikuma wajamaa bainakuma fi khair

Rie dan suami (Alim@Hakim)- 13 Mac

Najmi dan Yusra - 29 April

Fizah dan suami (Afiq) - 30 April

Mokcik dan Amru - 30 April

Ekin dan Jarir - Mei

Leia Mais…

26 April 2010

Siri Pulanglah Aishah

“Taknak la Kak Na, Siti takut.”

“Ni bukan pasar malam, kalau ye pun Siti nak takut apa, bukannya kita nak sampaikan benda yang bohong.”

“Nantilah, tunggu sampai Siti rasa berani Siti bagitahu la. Lagipun Siti fobia Kak Na,Kak Na pun tau kan. Esok kot Kak Na.”

“Ikutlah Siti. Akak rasa Siti lah orang yang paling sesuai sampaikan hal ni, sebab Siti yang paling rapat dengan Ipah. Lagipun Siti ni berpengaruh sikit, kalau Kak Na, alamat lari lah budak-budak tu.”

Siti mengangguk. Amalina yang dipanggilnya Kak Na telah pun bangun menuju ke beranda mengambil tuala yang tersidai, hendak mandi.

******************************************************************

“Ha, Siti, kau tak pakai tudung ke? Ingatkan raya kali ni dah nak pakai tudung” Berdesing telinga Siti mendengar teguran makciknya tatkala mereka beramai-ramai duduk berborak setelah penat melayan tetamu yang datang berziarah. Syawal kali ini merupakan yang paling meriah kerana semua kaum kerabat Tok Man, kesemua anak dan cucunya pulang beraya di kampung.

Siti yang buat-buat tidak mendengar kata makngahnya, meneruskan bermain dengan sepupunya yang paling kecil, Ammar. Ammar yang pantang jika diagah dan dikeletek badannya pasti ketawa.

Kalau tak ikhlas nak pakai buat apa pakai, bisik hati kecil Siti. Eleh, suatu hari nanti aku pakaila. Bukannya lama lagi pon. Tunggu aku habis form five.

Sebenarnya dia kecil hati dengan teguran makngahnya itu. Bukannya dia tidak mahu mengenakan tudung, tetapi bertudung ke sekolah pun dirasakan sudah cukup mencabar, yang mana hanya beberapa orang sahaja pelajar Melayu yang bertudung.

Pada awal persekolahan tingkatan 4, hanya pada hari pertama dan kedua sahaja dia bertudung. Itupun kerana kebiasaan ketika berada di sekolah lamanya SMK Guling Batu di tingkatan menengah rendah.

Lydia rakan sekelasnya di SMK Tampal Seribu, sekolahnya yang baru ini pernah mengatakan, kalau bertudung, mereka akan dijauhi dan diejek oleh geng-geng berpengaruh di sekolahnya. Siti yang memang asalnya bertudung hanya ke surau atau ke majlis tahlil itu merasa lega dengan situasi itu kerana tidak apa yang perlu ditakutkan. Dia menanggalkan tudung bermula pada hari ketiga persekolahan.

“Kalau kau nak ngam dengan dia orang semua, aku rasa better kau tak payah pakai tudung.” Lydia sambil menyelak helaian rambutnya yang diwarnakan ke belakang telinga. Inai, katanya jika pengawas sekolah bertanya tentang warna rambutnya itu.

“Sini susah sikit kalau pakai tudung.” Nasihat Lydia lagi selaku orang lama di SMKTS.

Walaupun baru beberapa bulan di SMKTS, Siti telah mula mendapat perhatian luar biasa daripada pelajar-pelajar sekolah dan juga guru-guru. Ini disebabkan keramahannya yang tidak pernah sombong walaupun dengan mereka yang tidak setanding status kehidupan mereka, dan juga kerana dia dianggap antara pengawas baru yang paling sporting dan pandai berjenaka. Dia tidak memilih bulu untuk mengajak rakan-rakan seasrama belajar secara study group, ataupun untuk bekerja dalam persatuan.

Lydia yang dahulunya pernah rapat dengan geng-geng keras di sekolah, mulai rapat dengan Siti.

“Siti, kau ni power la, sekejap je kau popular. Dahla pandai, sporting pulak tu.”

Bulan demi bulan, kesedaran datang kepada Siti untuk menutup auratnya di sekolah. Dia mengenakan tudung semula setelah bermula semester kedua tingkatan 4. Semua yang datang ke perhimpunan awal persekolahan sekolah hari Isnin terkejut dengan perubahannya. Guru-guru terkejut gembira, manakala pelajar ada yang sinis, tak kurang juga ada yang kagum dengan perubahannya itu.

Siti tetap popular walaupun dengan personaliti barunya. Beberapa pelajar telah mengikut jejak langkahnya bertudung.

Namun ada segelintir pelajar yang tidak senang hati dengan kepopularan Siti. Mereka menghasut Lydia supaya meninggalkan Siti berseorangan tanpa teman baik. Tidak berpuas hati lagi, mereka menyindir Siti dengan gelaran “Kacang sepat”.

Sememangnya gelaran itu bukanlah gelaran yang terang-terangan kepada perubahan Siti yang telah bertudung. Tetapi semakin lama, apabila Siti pulang sahaja ke dorm, didengarnya rakan-rakan dorm sebelah melaung-laungkan,

“Kacang sepat dah puuulaaang.”

Disahut-sahut oleh rakan-rakan yang lain, dan disusuli dengan gelak-gelak perlahan yang mencicit menembusi gegendang telinganya. Kihkihkihkih.

Ataupun, “Sepat oh sepat, kenapa kacang sepat, hoi.”

Nyanyi beberapa pelajar apabila dia melintasi dorm mereka untuk ke bilik air. Siti telah mula sedar sindiran itu ditujukan padanya, namun dia buat-buat tidak tahu dan dia menebalkan sahaja mukanya apabila melintasi dorm-dorm lain. Selama berminggu-minggu lamanya situasi itu dihadapinya dengan perasaan dukacita di hati. Dia hanya melepaskan tangisnya semasa sendirian berada di bilik air ataupun ketika berada di surau sekolah.

Siti tetap dengan karektornya bertudung dan mesra dengan sesiapa sahaja di sekolah. Ini menaikkan kegeraman mereka yang pernah menyindirnya dahulu. ‘Geng-geng keras’ seperti yang dinamakan Lydia itu tidak putus akal. Mereka mencari idea lain untuk mengenakan Siti. Kali ini mereka memfitnah Siti mempunyai perasaan dengan seorang pelajar senior tingkatan lima, Ketua Pelajar SMKTS.

Mereka menyampaikan kepada orang lain bahawa Siti suka kepada Saiful 5A, tetapi cintanya tidak berbalas dan Siti hanya syok sendiri. Siti yang mendengar cerita itu cuba menyabarkan diri dan berdiam sahaja. Ada kalanya dia menjelaskan situasi yang sebenar kepada beberapa orang yang jujur bersemuka dan bertanya.

Suatu hari setelah perhimpunan pagi yang lazimnya diadakan setiap hari, Siti dipanggil oleh Cikgu Napisah, kaunselor sekolah untuk berbincang satu perkara.

“Siti, jom ikut cikgu, kita minum sekejap. Di kantin.”

Hai, pelik sungguh. Siti tertanya-tanya apa agaknya yang hendak dibincangkan. Kesemua perkara penting yang berkaitan dengan unit akademik yang dipegangnya telah diselesaikan semalam semasa mesyuarat. Ah, agaknya ada benda yang tertinggal kot. Tapi mengapa di kantin, bukan bilik kaunseling? Siti semakin pelik, tetapi dia cuba menenangkan dirinya.

“Siti, kenapa dengan result kamu baru-baru ni? Saya dengar ada gred kamu yang menurun,” tanya Cikgu Napisah sambil menyedut air teh limau ais yang berada di depannya.

“Emm, ada cikgu, subjek kimia dan bahasa arab saja. Yang lain grednya kekal,” baru Siti mengerti kenapa guru kaunseling itu mengajaknya berjumpa. Masalah akademiknya sendiri rupanya.

“Kamu ada masalah ke Siti? Cikgu ni cuma bertanya sajalah, mungkin ada yang cikgu boleh bantu.”

“Err…err. Sebenarnya cikgu tak ada masalah apa-apapun. Kalau ada pun, insyaallah saya boleh settle sendiri. Yang pasal gred menurun ni pun sebab saya ada cuai sikit semasa menjawab cikgu.” Siti cuba meyakinkan gurunya.

Sememangnya grednya culas sedikit kerana dia ada kecuaian semasa menjawab peperiksaan yang berkenaan.

Bersambung.

Leia Mais…

29 March 2010

Argh, dan ini berlaku lagi!


Lailahaillallah,muhammad rasulullah. Sempat jugak dibisikkan kuat pada diri sendiri, agar kedengaran oleh dia, empunya tubuh mungil keunguan setelah 2 minit terbujur kaku.

*******************************
Usia dikandung ibu 34 minggu, berat lahir 3.1 kg memang sama berat dengan bayi matang.
Cantik sempurna bentuknya persis yang baru lahir.

Songsang, tali pusat terhimpit di pintu rahim, air ketuban turun selama 6 jam. Mungkin jika tidak tinggal di pedalaman, dia sempat diselamatkan secara pembedahan.
Jika tempat berpraktikal pun dah dikira pedalaman, maka tempat datangnya si ibu ialah pedalaman-pedalaman.

(Gambar: Mesin pengimbas)

Telah hampir sejam dia cuba diselamatkan. Penanda aras oksigen pada mesin pengimbas digital mulai berkurang. Jika hidup, otaknya berkemungkinan cacat setelah ketidakcukupan oksigen bermula sejak tali pusat terhimpit di dalam rahim. Diagnosis cerebral palsy menyambut masa depannya. Akhirnya ibu merelakan anak pergi. Esak tangisnya dari jauh menandakan "Selamat tinggal anakku yang baru sejam keluar dari rahimku, damailah kamu di sana."

Dengan hati yang berat tiub bantuan pernafasan dicabut perlahan-lahan, membiarkan tubuh yang telah lama derita itu tenang menuju kerehatan. Meninggalkan mata-mata ihsan yang memandangnya. Menyaksikan bilangan denyutan nadi yang terimbas pada mesin pengesan turun bacaannya satu-demi satu.

Tak berkelip kelopak menyaksikan tiba-tiba petugas putih bercermin mata datang dan memercikkan air jernih pada tubuh kecil dia. Dan mencoretkan beberapa garis di dahi dia. Mulut terkumat-kamit menyebut beberapa perkataan yang pernah tetapi janggal didengar. Pertama kali meyaksikan.


Berkongsi pengalaman ini dengan ummi. Kata ummi takdir umurnya tidak panjang. Syukur, insyaallah dia penghuni taman syurga. Moga orang tuanya di sini beroleh hidayah.

Leia Mais…

15 March 2010

Alahan kulit a.k.a Allergic Eczema

“Jangan mandi lama sangat, nanti kulit kamu cepat kering. Bila terlalu kering,
kulit akan jadi lebih sensitif.”
Nasihat pakar kulit kepada pesakitnya.

Saya juga pernah tersilap memahami, bahawa air boleh melembapkan kulit. Sebenarnya air yang terkena pada kulit terlalu lama contohnya akibat mandi atau membasuh terlalu lama akan menyebabkan kandungan air semulajadi dalam kulit meruap keluar. Dan membawa keluar bersamanya pelembab semulajadi kulit, sejenis minyak dipanggil natural mosturising factor.

Kesannya kulit menjadi semakin kering. Kulit kita sebenarnya mengandungi pelembab semulajadinya sendiri. Perhatian penting untuk mereka yang punya kulit sensitif seperti eczema (skin allergy).

Begitu juga dengan penggunaan sabun yang terlalu ‘kuat’ seperti Dettol, Protex, Lifebuoy, (segala macam sabun antibakteria), etc yang kita sangkakan boleh menyahkuman secara extra dan mengurangkan gatal-gatal alahan kulit. Tetapi sebenarnya kulit akan menjadi bertambah kering dan lebih sensitif. Boleh menyebabkan eczema bertambah teruk (flare up). Mandian yang disyorkan untuk mereka yang berkulit sensitif ialah sabun berPH 5.5 atau mandian bayi. Yang tidak mempunyai unsur ‘sabun’ (non soap cleanser). Ataupun carilah mandian yang mempunyai kandungan pelembab (moisturiser) seperti Dove, etc. Sebaiknya jangan amalkan memakai produk sabun atau kosmetik yang mengandungi wangian (fragrance), kerana mungkin anda juga alah dengan bahan tersebut.

Bahkan sesetengah pesakit langsung tidak menggunakan sabun ketika mandi kerana eczema yang sangat teruk. Hanya melumurkan aqueous cream seluruh badan dan kemudian membilasnya.

“In fact for severe eczema there is patient who is taking antihistamine
everyday for the whole life. Setiap hari gatal."



Disyorkan juga penggunaan pelembab selepas mandi yang mempunyai humectant(glycerin,etc) atau emollient (petroleum jelly, sunflower oil).

Sangat penting bagi mereka yang punya alahan ini untuk mengenalpasti dan mengeksperimen sendiri punca-punca yang mendatangkan alahan contohnya sesetengah makanan, habuk, bulu kucing, hama, produk sabun atau kosmetik dan berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan diri dari mendekati allergen tersebut.




Kumbang ke? House dust mite lah. ~Hama



My hair could be one of the allergen- Kitty

Jangan bersedih dengan kulit anda, walaupun maintenance agak mahal, penyakit ini adalah anugerah. Yang merasai lebih mengetahui dan memahami. Dan ramai sebenarnya yang mempunyai masalah eczema ini tetapi tidak mengetahuinya.




Atopic Eczema-Allergic Rhinitis-Bronchial Asthma-Allergic Conjuctivitis (Rangkaian atopic disease yang anda mungkin menghidap salah satu atau lebih daripadanya sekiranya ahli keluarga anda mempunyai salah satu daripadanya)~Eh, faham ke?

Contohnya jika adik anda penghidap asthma, dan anda mempunyai masalah alahan kulit, sangat berkemungkinan besar diagnosis masalah kulit anda ialah Atopic Eczema.


Cuaca yang panas sekarang pun sangat menguji kesabaran kita semua, semuanya terasa kering, kering kulit, perit tekak. Lebihkan minum air. Jika perlu pelembab gunakan pelembab. Sesetengah kawasan yang berjerebu, sememangnya amat mencabar bagi pesakit asma, COPD (Chronic obstructive Pulmonary Disease), dan juga penghidap masalah kulit eczema.


"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku” Asy-Syuara’ : 80

Yang menyembuhkan itu kerja Allah. Kita berikhtiar ye.

Leia Mais…

24 January 2010

Tangan Tua



Tangan Tua




Tangan tua
Bakal disua pada cucu-cucu minta diciumi
Terketar-ketar menguis hidung si mulus
Bengkok sendinya hilang halusnya

Tangan tua
Bakal culas saat mengelap meja
Mengutip sisa nasi di kaki kerusi
Terlepas cawan seramik cina
Lantas disapu cucu tertua

Tangan tua
Hening subuh bakal kaku kesejukan
Usai membilang tasbih perit ruasnya
Pedih minta minyak disapukan
Lega paginya menyediakan sarapan

Tangan tua
Tak perlu rintih terhad tugasnya
Andai masa muda sepenuhnya digunakan
Tak perlu sebak tak semungil dulu
Kerana nilainya bukan pada bentuk dan alurnya

Tangan tua
Berapa banyak periuk air ditatang bukan pengukurnya
Berapa hati yang disentuh itulah imbangannya
Berapa jiwa yang diasuh itulah cerminnya
Berapa wajah yang diadun itulah kiraannya
Berapa tubuh yang dibangun itulah rupanya

Tangan tua
Itulah bakal tangan aku, kamu, mereka, semua
Yang dahulunya pernah merasai muda.

Leia Mais…