Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

23 December 2009

Jiwa yang lebih BARU tahun baru ini

Life is about abilities not disabilities…

Gambar ini sebenarnya saya dapat daripada seorang pensyarah, yang menerangkan dengan panjang lebar apa itu Orthopaedic Rehabilitation. Saya tertarik sangat untuk berkongsi, gambar ini sebenarnya menunjukkan seorang pemuda yang telah lumpuh seluruh badan. Beliau mengalami kecederaan saraf tulang belakang. Beliau hanya mampu meniup dan menghembus, kerana otot yang mengawal pergerakan menghembus dan meniup itu adalah otot paling bawah yang beliau mampu gerakkan. Itulah otot paling bawah yang terselamat. Bermakna pergerakan bawah daripada itu adalah ZERO! Beliau tidak mampu menggerakkan langsung tangan, kaki dan badan apatah lagi mengawal air besar, kecil sendiri.


Sekiranya diteliti beliau sedang berada di atas sebuah kerusi roda canggih automatik. Lelaki ini mengawal pergerakan kerusi roda beliau dengan menghembus dan meniup pada alat pengesan khas yang menghantar maklumat untuk menggerakkan kerusi rodanya ke depan dan ke belakang.

Padahal orang yang lumpuh kebiasaannya terbaring, disuap, dimandikan, dibersihkan. Mereka yang pernah menjaga kaum keluarga yang sakit terbaring berbulan-bulan, bertahun tahun pasti tahu apa yang berlaku pada orang yang terlantar itu. Bedsores, pressure ulcers, muscle stiffness, contracture.

Tetapi halnya, kerana kuatnya semangat lelaki, beliau ini menggunakan apa sahaja kebolehan yang beliau ada (hanya menghembus dan meniup!), beliau mampu tegak, duduk, sehingga dia boleh hidup bertahun-tahun lagi (dengan izin Allah) berbanding jika terbaring, kesihatannya akan sangat terganggu dengan Deep Vein Thrombosis, Aspiration Pneumonia, Sepsis yang bisa mengambil nyawanya.

Disabled or differently able.

Gambar hitam putih ini pula menunjukkan apa yang mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang kudung kakinya ini. Beliau bermain bola sepak dengan bantuan cructhes (tongkat, seperti dalam gambar). Lihatlah kesungguhan raut wajahnya, dan betapa luasnya bukaan batang crutches beliau dalam usaha untuk mengimbangkan diri dan menyepak bola. Jika dibandingkan dengan kita yang masih punya kedua-dua kaki pun tidak mampu atau tidak mahu bermain bola sepak andaikata tidak punya kebolehan bermainnya. Apatah lagi jika kita kehilangan sebelah kaki. Maka sebenarnya orang yang 'kurang upaya' bukannya 'kurang keupayaannya' tetapi sebenarnya 'berbeza keupayaannya'.


They are differently able, they are not disabled.


Jika mereka yang kurang sempurna anggota ini lebih 'mampu' daripada kita, kita sebenarnya lagi 'mampu' daripada mereka. Jika mereka pun mampu berlari laju dengan sebelah kaki, secara logiknya kita mampu memecut lebih laju dengan adanya dua kaki.



"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik diciptakan untuk manusia. Kerana kamu menyuruh yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah." Ali Imran 110.


Maka sesuai dengan seruan Allah ini, marilah kita sama-sama mengutilisasi keupayaan yang ada untuk jadi 'diri kita' yang terbaik. Bersainglah dan bertandinglah dengan diri kita sendiri yang sekarang, kerana kita sebenarnya lebih hebat daripada yang kita sangkakan.


"Good is not enough when better is possible"- Mr Burhan.



Selamat tahun baru buat semua, kita melangkah ke pentas 1431 hijrah ini dengan jiwa yang lebih segar!

p/s: Minta maaf kerana menukar laluan akses ke blog ini kepada 'private' buat sementara waktu sebelum ini.

Leia Mais…

02 November 2009

Al-Fatihah

Dia yang menggantikan atuk

Orangnya saya kenal sejak kecil. Bahkan dia mengenali saya sejak saya berumur 3,4 tahun lagi.
Sebelum ini ayah dan umi menyewa rumahnya di Bangi kira-kira 20 tahun yang lepas. Dia yang berpangkat atuk ini akhirnya menjadi ayah mertua kepada adik umi. Kini rumah adik umi (Ibu Kiah saya panggil) yang terletak di Bangi itulah yang menjadi tempat persinggahan tatkala cuti pendek ataupun ketika tidak cukup pitih untuk balik sarawak.


Maka atuk ini sekarang menjadi datuk kepada sepupu-sepupu saya. Dan besan atuk sarawak saya. Baru 2 minggu yang lepas kami diberitakan dia telah pengsan berhampiran kawasan rumahnya. Lalu dimasukkan ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut. Seterusnya Tok Amit (ini panggilan kami kepadanya daripada nama asal Abdul Hamid) dipindahkan ke Hospital Serdang ditempatkan di CCU (Cardiac Care Unit/Unit Rawatan Jantung).

Umi berpesan pada saya, selesai sahaja exam jenguklah atuk di hospital, kondisinya semakin tidak baik.

"Awak dah tak ada atuk lain dah, tu je 'atuk' yang awak ada. Pergilah tengok dia kat wad, tak boleh tunggu lama-lama."


Akhirnya saya menyempatkan diri menziarahi Tok Amit di CCU. MasyaAllah, mungkin komplikasi daripada penyakit kencing manis yang dihidapi, jantungnya lemah. Dia diberi rawatan ubatan inotrope... untuk menguatkan kontraksi jantung. Dan daripada jantung yang lemah itu, muka dan tangannya bengkak, tandanya air telah memasuki celahan-celahan tisu yang mampu dicapai. Dan Tok Amit juga mendapat diuretics untuk menangani fluid overload tersebut. Tak sempat saya mengetahui masalah penyakitnya.
Terdetik kembali saat arwah atuk saya sendiri 5 tahun yang lepas, semasa hampir menemui tuhanNya, tubuhnya juga bengkak, kuning seluruh badan.


Sepanjang berada di CCU, Tok Amit tak sedarkan diri. Saya hanya terdiam dan memerhatikan sahaja tanda-tanda komplikasi yang nampak. Pandangan saya kelihatan kosong ketika menyoroti segala wayar dan tiub yang disambung pada batang tubuhnya. Tapi belekan pada setiap bacaan, ubat, sebenarnya saya sedang berkira-kira apakah masalahnya.
Tidak sopan rasanya bertanyakan staff nurse apakah diagnosis beliau di hadapan cucunya sendiri. Dan yang paling penting Tok amit yang terbaring itu juga mungkin boleh mendengar walaupun tidak sedar.

Walaupun vital signs menunjukkan tanda-tanda stabil, yakni tekanan darah yang normal, kepekatan oksigen darah yang normal, denyutan nadi pun normal, hati kecil saya berkata sampai bilalah kesemua ini mampu bertahan. Tapi tak mampu nak melawan ketetapanNya bahawa apa-apa sahaja yang luar biasa boleh berlaku.

Nyawa hanya pinjaman

Akhirnya Tok Amit sudah tidak mampu bertahan. Alam yang lagi satu akhirnya menggamit memanggil. Beliau meninggalkan kesemua anak, dan isteri yang menunggunya di wad di saat-saat akhirnya. Siapa sangka dia yang tampak sihat dan ceria selama ini setelah tidak sedarkan diri selama 2 minggu, telah dijemput menemuiNya. Tak sangka, baru sahaja 3 minggu yang lepas saya dan sepupu mengunjungi rumahnya, melihat ternakan kambing, ayam, dan hari ini dia meninggalkan kami.


Selalunya aidiladha yang saya sambut bersama keluarga Ibu Kiah di Bangi, Tok Amit tak akan terlepas daripada melakukan ibadah korban. Siapa sangka hari ini disuratkan dia tidak lagi akan bersibuk-sibuk menambat sapi di belakang rumahnya untuk Hari Raya Haji tahun ini. Tiada siapa lagi yang akan kelihatan menemani Nek Timah menghambat kambing-kambing pulang ke kandang ketika maghrib seperti selalu.


"Muka pada hari itu berseri-seri,
berpuas hati dengan balasan amal usahanya,
mereka tinggal di dalam syurga yang tinggi,
tidak mendengar sebarang kata yang sia-sia.
Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir,
ada pelamin berhias yang tinggi.
Dan piala minuman yang disediakan,
dan bantal yang teratur,
serta hamparan yang terbentang."

Al Ghasyiah : 8-16

Segan menyayanginya seperti atuk sendiri, kerana beliau hanyalah datuk kepada sepupu-sepupu saya. Tetapi itulah yang dirasai di pundak hati, kami adik-beradik menyayanginya seperti datuk kami sendiri. Beliau rapat dengan besannya iaitu atuk sarawak kami. Walaupun jauh Selangor dan Sarawak, sekiranya berkesempatan, beliau akan mengunjungi atuk di kampung kami di pedalaman Miri. Dan beliaulah yang menawarkan diri menguruskan majlis kesyukuran Izaidah beberapa bulan yang lepas.

Moga kebaikan-kebaikannya selama ini diambil kira dan diterima sebagai pahala. Tidak perlulah disebutkan kebaikan beliau, kerana Allah lah yang lebih berhak menilai. Melihatkan penziarah-penziarah yang tidak putus-putus berkunjung ke CCU sudah menunjukkan betapa ramai yang mengingatinya sebagai penyumbang kepada kembangnya syiar Islam di tempatnya.


Kullu nafsin zaiqatul maut....ila akhir ayah.
"Sesungguhnya yang hidup pasti akan merasa mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Sesungguhnya mati itulah yang paling dekat dengan kita. Teringat pesan seorang guru, menurutnya arwah Ustaz Fadhil Noor pernah berpesan supaya rancanglah dalam keadaan apa kita hendak nyawa kita diambil kelak. Rancanglah seni kematian anda, begitulah yang saya faham daripada kata guru tersebut.


Yang baik tak semestinya berakhir baik

Dan tak semestinya kita yang merasa kita ini baik, matinya nanti adalah pengakhiran yang baik.
Dan tidak semestinya orang yang kita pandang rendah selama ini atas 'tidak baiknya' dia, matinya nanti adalah pengakhiran yang tidak baik.

Ia mungkin sebaliknya. Mungkin yang selama ini merasa amalnya cukup, sebenarnya tidak ikhlas dalam amalan. Atau diuji dengan maksiat dan tidak sempat bertaubat, maka matilah orang ini dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Nauzubillah.

Mungkin yang selama ini dikatakan jahat, diberi kesempatan bertaubat, atau berubah menjadi lebih baik. Berolehlah ia pengkhiran yang baik.
Sepertimana tak semestinya Ah Chong akan masuk neraka, dan tak semestinya Ahmad masuk syurga.


Al-fatihah kepada arwah atuk Haji Abdul Hamid Bin Dina

Allahumma takhtim 'alaina bihusnil khaatimah

Leia Mais…

19 October 2009

Post Clinical Exam harap-harap bukan Post Traumatic Stress Disorder

Sudah pun pertengahan tahun 5. Dalam tak sedar rupanya usia ini semakin menginjak lebih tua. 6 hari lagi, akan cukuplah umur 23. Umur dua puluh tiga ni, bila balik ke rumah, atau ke kampung, pasti soalan sama yang diajukan. "Bila nak bawak balik abang?", atau "bila nak kahwin?"

Tambah adik perempuan yang lebih muda 2 tahun usianya daripada saya telahpun berumahtangga. Sahabat-sahabat sepengajian yang sekelas, pun sudah boleh dikira dengan jari yang bakal menamatkan zaman bujang pada awal suku tahun hadapan. Bermakna mereka akan bergelar weekend housewife atau weekend husband selama setahun dari tempoh berkahwin nanti.

Ayah dan umi lagilah sibuk bertanya. Ibu bapa mana yang tidak risaukan jodoh anak-anaknya. Lagi-lagi si anak gadis. Jawapan standard saya. Belum sampai lagi jodohnya. Agaknya, lama-kelamaan ayah dan umi pun dah masak dengan jawapan saya.

Insan mana yang tak inginkan kehidupan berumahtangga. Lebih-lebih lagi bila usia sudah tiba masanya. Dan bagi mereka yang sudah berada di alam kerjaya, tekanan untuk berumahtangga semakin bertambah. Tapi adalah juga yang mahukan dirinya, kewangannya, emosinya stabil dahulu.

Bagi saya sendiri, terasa bersalah sekiranya diri ini mahu memikul tanggungjawab itu tanpa cukup persediaannya. Bukanlah persediaan yang maksimum, tapi memadailah sesiapa yang ingin memikul tanggungjawab itu, letakkan satu target minimum, apa yang mesti mahu dicapai? Dan bukanlah yang dimaksudkan persedian ini persediaan kewangan, rumah dan kerea. Peliharalah imanmu baru bernikah! Itulah persediaannya. Persiapkan emosi yang stabil. Biarlah jelas kenapa mahu walimah. Lalu keinginan itu sebenarnya mampu dikawal iaitu ditepis seketika hinggalah sampai masanya, tepat orangnya, sesuai situasinya.

Jika tidak memelihara sekarang
Bisakah memelihara nanti?
Jika tidak gigih sekarang
Bisakah gigih nanti?
Jika tidak optimis sekarang
Bisakah optimis nanti?
Jika tidak bergerak kerja sekarang
Bisakah bergerak kerja nanti?
Jika Dia tidak sepenuhnya di jiwamu sekarang
Bisakah Dia kekal di jiwamu nanti?

Tertarik dengan kata-kata seorang sahabat jugak, “Banyakkan MENJADI (mempersiapkan diri) daripada MENCARI”. sumber

Tenanglah dengan dirimu. Pasti punya penjelasan mengapa sekarang, mengapa esok, mengapa tahun depan, atau mengapa tak sampai-sampai lagi. Tak cukup usahakah, tak cukup bersediakah..atau kan ketemu di syurgakah?

Berkenaan exam, sebenarnya masih terdapat 2 paper lagi, yang belum dilunaskan. Insyaallah Khamis ini theory paper for psychiatry. Itu pun setelah menitis dah air mata petang tadi. Setelah mencuba pesakit pertama dan kedua, pesakit ketiga barulah mampu saya clerk walaupun simptom-simptom tidaklah sepenuhnya saya dapat. What do you expect in 25 minutes of clerking. Dugaan.
Jumaat ni paper untuk subjek wajib universiti, Entrepreneurship. Pun setelah separuh hari menjaga gerai donat 2 minggu lepas, dan bussiness report presentation jumaat lepas.

Apapun clinical exam lagi berat berbanding teori. Berat dari segi psychological stress. Tambah lagi saya yang agak kurang keyakinan dan rasa inferior berbanding yang lain(ramai jugak yang pernah tegur).
Berdepan dengan pesakit dan pemeriksa yang tidak diduga moodnya. Tangis, gelisah dan pasrah adalah pasti di kalangan calon peperiksaan. Pergantungan pada Allah sangat tinggi. Walau banyak mana ilmu yang dihafal pun tak berguna kalau bukan Allah nak bagi rezeki. Tulah sebabnya bagi kami, berdepan dengan kertas di dalam dewan peperiksaan lebih melegakan.

Tanpa mengira apakah natijahnya nanti, saya berdoa agar urusan kami semua dipermudahkan untuk rotation psychiatry ini.

Leia Mais…

16 October 2009

Countdown to End Posting Exam

Takkan tercapai walau disasar
Takkan sekata walau dikisar
Takkan terang walau dinyalakan
Takkan bengkok walau ditekan

Tapi terkaut bila dicedok
Tapi sebati bila diuli
Tapi cerah bila disuluh
Tapi lentur bila dikendur


Baru-baru ni masuk klinik pakar psikiatri, buat attachmBlockquoteent. Basically dekat klinik ni lagi banyaklah kes berbanding dengan wad. Maklumlah hari terakhir, bersemangatlah kami nak luangkan masa di klinik. Antara pesanan doktor buat kali terakhir untuk posting ni di Hospital Temerloh berbunyi....

"Psikiatri ni bukannya susah. Malah penting pulak tu. Rasulullah diutuskan apa peranannya?

Terkulat-kulat saya dan As menjawab.

Akhirnya dijawab oleh doktor tu, "Apa yang Rasulullah pesan......Sabar, yakin, positif..... Kan itu ialah content of psychiatry... Takde pulak pasal buah pinggang, paru-paru ke... Senang je psikiatri ni. So berminat tak nak sambung psikiatri?"


Selamat menempuh PEPERIKSAAN
Kepada junior tahun 3
dan kawan sekelas tahun 5.

Leia Mais…

27 August 2009

Hanya untuk kamu

Tuut tuut…tuut tuut. "Hello, wan. Jadi sik ko nak datang men bol?" Jerit Faizul.
[Hello Wan, jadi tak kamu nak datang main bola?]

"Eeh, mesti la, sik idup aku sik men bol seminggu. Siney ku mok jumpa ko, pok? Ko amik aku cam beysa la keyh."[Eh, mestilah. Tak hidup aku kalau tak main bola seminggu. Mana kau nak jumpa aku, pok(panggilan rakan kepada rakan)? Kau ambil aku macam biasalah, okay.]

"Aok ba. Ko bukan pandey nak datang dik empun. Mun bukan sebab keenseman aku nok kedak messi tok mesti aku sik sporting dah."[Yelah. Kau tu tak pernah pandai nak datang sendiri. Kalaulah bukan disebabkan kehenseman aku yang seperti Messi ni, aku takkan sporting macam ini.]

“Udah gik ko Jul. Padah mok main. Cepat kit amik aku. Lak mak aku balit bising nya nengok ku keluar.”[Sudah lah tu, Jul. Kau kata nak main. Cepat sikit ambil aku nanti. Nanti mak aku bising tengok aku keluar.]

“Ku semayang lok. Ko ya semayang dolok juak. Lak ku amik seploh menet. Bye.” Faizul menamatkan perbualan telefon.
[Aku solat dulu. Kau pun solatlah jugak. Lagi sepuluh minit nanti aku ambil. Bye.]

Tut..tut..tut. Faizul bergegas mengambil wudhu dan terus menunaikan solat asar. Ah, kali ni aku sembahyang sorang la, bisik hatinya. Kebiasaannya pada musim cuti sebegini dia akan mengikuti abangnya solat berjemaah tiap waktu di masjid kawasan perumahannya.
Begitulah rutin hampir setiap hari sepanjang cuti seminggu. Buku kimia, sejarah, dan segala jenis buku pelajaran langsung tidak disentuhnya. Lagi sedap tidur cuti-cuti begini. Petang bermain bola dengan rakan satu perumahan dan satu sekolah. Tengah hari biasanya bermain permainan video PES, CS, Red alert. Mahu santai sedikit bermain Age of Empire. Malam nanti menonton perlawanan EPL. Dia takkan terlepas menonton perlawanan melibatkan kelab pujaannya, Liverpool.

Faizuuuul!! Nak rasa sedap kapur biru ni ke? Serentak dengan itu sebatang kapur dilempar tepat mengenai kepala Marwan di sebelahnya.

“Oi, kau tok..”[Oi, kau ni..]
Menyeringai Marwan balingan kapur tersalah sasaran. Faizul tersentak daripada lamunannya. Ceh, Cikgu Rohana rupanya.

“Awak faham ke, half life radioactive substance ni? Mari sini terang kat depan. “Erk, game half life tahulah aku, hati Faizul bergetar. Dia hanya membisu dan tercengang-cengang sambil diperhatikan rakan-rakan sekelas 4 Zuhrah.

“Awak ni faizul, tak bersyukur ke, ada rezeki masuk kelas sains. Tahu tak, ramai orang nak masuk aliran sains ni, tapi tak dapat.” Arghhh, dia membebel lagi. Bla-bla, pok pek. Faizul seperti biasa buat-tidak tidak dengar. Biasalah tu, orang semenanjung. Cakap je banyak, berlagak baik lah tu. Faizul dengan sikapnya yang anti terhadap orang yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
Lain halnya, walaupun tidak berminat menjadi ustaz, Faizul tetap meminati pelajaran Pendidikan Islam. Tenang katanya. Terutamanya kelas ustazah Anita.
“Ko tauk sik kenak ku minat kelas Ustazah Anita?”
[Kau tahu tak kenapa aku minat kelas Ustazah Anita?]

“Ne tauk kau, kali sebab Ustazah ya kiut nak?”
[Mana aku tahu, mungkin sebab ustazah tu cute (comel)?]

“Kiut jak-jak diingat ko. Nya dah belaki lah pok. Anak 3 orang.”
[Cute je yang kau ingat. Dia dah bersuami la. Anak 3 orang.]

“Aok ba, datang la perangei berceramah kau ya. Dah, kenak lah tek ko minat PI?”
[Yelah, datang la perangai berceramah kau tu. Habis tu, kenapa kau minat PI (Pendidikan Islam)?] Marwan bertanya lebih lanjut.

“Dalam banyak-banyak cikgu, Ustazah Anita jak sekda compare-compare aku ngan dak abang ngan kakakku. Yalah, sidak tek pandey. Semua A. Aku tok sik tauklah mok jadik apa.”[Antara kesemua cikgu, Ustazah Anita saja yang tidak pernah membandingkan aku dengan abang dan kakak aku. Maklumlah, diorang pandai. Semua A. Aku ni tak tahulah nak jadi apa.]

Faizul terkesan dengan pendekatan Ustazah Anita. Dia tidak pernah memalukan Faizul di hadapan kelas. Ada masanya Ustazah Anita memanggilnya dan bersemuka untuk berbincang. Pernah Faizul malu apabila diketahui kawan-kawannya dia pernah dipanggil face to face oleh Ustazah Anita, namun hati kecilnya tetap menyenangi sikap mengambil berat dan sifat keibuan ustazah Anita.

“Jul, belaja gik kitak. Apa kitak sikmok dapat straight A kedak kakak dengan abang ka? Lelah mak hantar tuisyen mok suruh kitak pandey.”[Jul. Belajarlah. Apa awak taknak dapat straight A seperti kakak dan abang awak? Letih mak hantar awak tuisyen supaya pandai.]
Ibu faizul mula membebel, apabila dilihatnya Faizul semakin tidak berminat membuat latihan dan kerja rumah. Faizul tertekan lagi. Tidak habis-habis isu abang dan kakak. Aku ni bukan anak mak kah, hatinya merungut. Hari itu, pulang dari sekolah, Faizul terdengar satu berita..

“Cikgu Ng meninggal semalam, sakit jantung.”
Kelu lidah Faizul mendengar khabar yang diberitakan ibunya. Dia hanya mampu menelan air liur. Terhenti nafasnya seketika. Guru tuisyen matematik tambahan yang paling digemarinya sudah tidak ada.

“HAH, benar kata mak tok? Baruk jak duak ari lepas kamek tuisyen dengannya,” tanya Faizul masih terkejut.
[Hah, betul ke apa yang mak cakap ni? Baru saja 2 hari lepas saya ke kelas tuisyen dia.]

“Aok mak eh, baruk jak ariya, tangga kamek nya sihat jak,” tambah kakak Faizul, Syafiqah.
[Yelah, mak. Baru saja tempoh hari, saya tengok dia nampak sihat saja.]

“Mak pun sik sangka, maseh mak nyimpan SMS nya nok madah nya sik dapat ngajar tuisyen marek, ada seminar,” jawab ibu Faizul, rupa-rupanya dia pun masih tidak percaya.
[Itulah, mak pun tak sangka. Mak masih lagi simpan SMS Cikgu Ng yang dia tak dapat mengajar kelas tuisyen semalam, ada seminar.]

Berita kematian Cikgu Ng tersebar dengan pantas di kalangan murid yang menghadiri kelas tuisyennya. Cikgu Ng orangnya masih muda. Baru berusia awal 30-an. Beliau meninggalkan seorang isteri dan seorang anak yang masih kecil, yang belum sempat mengenali ayahnya. Memang dia meninggalkan dunia buat selamanya, namun jasanya masih dikenang-kenang di mulut mereka yang merasai jasanya. Seorang pakar subjek matematik tambahan yang sangat mantap dan terkenal di daerah Bintulu.

Faizul meneruskan kehidupannya seperti biasa. Kebetulan ramadhan baru sahaja bermula. Langit tidak selalunya cerah. Beberapa hari berpuasa, faizul sekeluarga dikejutkan dengan berita bahawa datuk kesayangannya menghidap kanser perut.

“Pak, agak-agak kitak, atuk boleh bait sik? Dahla nya benar-benar maok pergi haji kelak.” Tanya Faizul kepada ayahnya.[Ayah, rasa-rasanya atuk ada peluang sembuh tak? Sudahlah dia betul-betul bersemangat nak menunaikan haji tak lama lagi.]

Dan sepanjang bulan puasa Faizul kelihatan semakin berubah. Faizul mula berlembut dengan kedua ibu-bapanya. Risau jika sesuatu yang menyedihkan menimpa kedua ibu bapanya pula.
Datuk faizul sebenarnya sudah lama mempunyai tanda-tanda tidak sihat sebelum ini. Tetapi seperti kebanyakan orang tua, mereka tidak berapa suka membuat pemeriksaan di hospital mahupun klinik. Hanya disebabkan beliau akan menunaikan haji tidak lama lagi, itulah yang membawanya melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital.
Allah lebih menyayangi datuk Faizul. Pada hari raya kedua, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, Faizul sendiri menyaksikan saat-saat datuknya menghadapi sakaratul maut.

Kenapalah, banyak benar peristiwa yang berlaku dalam hidup aku ni, rintih batin faizul tatkala melihat liang lahad datuknya dikambus sedikit-demi sedikit. Di rumah, seluruh ahli keluarga menangisi pemergian datuk kesayangan mereka.

*************************************************************************************

“Fin, malizi?” terdengar jeritan seorang lelaki. Pon! Pon!

Faizul tersedar daripada lamunannya. “Ma’alish!” Faizul mengelak gerai makanan yang hampir dilanggarnya. Pemikiran Faizul seraya kembali kepada realiti. Dia pun menapakkan kaki ke tepi jalan yang berdebu. Bunyi hon kereta di sana-sini. Kanan dan kiri sangat ramai manusia yang lalu-lalang. Ada yang membawa beg besar, anak, barang jualan, berkawan-kawan. Diperhatikan menara jam di seberang jalan. Oh, dah masuk waktu asar.

“Jom!” tapak tangan milik suara yang sangat dikenali Faizul menepuk bahu kanannya.
“Kita solat dulu, lepas ni nak cari kitab pulak.” Ajak Uwais apabila melihat Faizul senyap membatu. Faizul dan Uwais berjalan bersaing-saing menuju ke Masjid Hussein.

“Apa yang kau menungkan tadi, sampai tak tengok orang keliling.” Uwais memulakan perbualan, selesai bersolat asar.

“Hah, aku terkenangkan masa remaja aku.” jawab Faizul tersengih, rupanya sahabat baiknya perasan akan perlakuannya tadi.

“Amboi, ingat marka lama ka?” Usik Uwais, masih pekat loghat utaranya.

“Bab mengusik orang kau lah juara. Mana adalah. Aku teringat je, aku masa remaja dulu tak macam aku sekarang.” Balas Faizul.

“Awat hang dulu bukan lelaki ka?” Uwais mengusik lagi, sebenarnya cuba mengorek apa yang kelihatan terpendam di lubuk hati Faizul.

“Weh, ni lelaki tulenlah. Kau jangan buat aku merepek. Nanti hilang ilmu ‘abdomen aku’." Jawab Faizul, kemudian berhenti sebentar. Dia menghela nafas yang panjang.

"Aku tak tahulah, kenapa orang macam aku ni pun Allah masih nak bagi peluang berubah. Aku dulu nakal, langgar peraturan, lawan cakap mak ayah, banyak lagi dark side aku.” Faizul mula membuka cerita. Faizul tidak pernah berselindung dengan sahabat baiknya itu.

Uwais hanya terdiam. Dia menjangkakan pasti Faizul akan menyambung lagi.

“Tapi sampai satu masa tu, aku menghadapi kehilangan 2 orang yang aku sangat sayang dan percaya. Macam yang aku pernah cerita kat kau dulu.”
Tepat seperti sangkaan Uwais. Faizul masih teringat-ingat dengan peristiwa kehilangan kedua insan tersebut satu masa dahulu.

“So, that’s your turning point ke? Sejak dari peristiwa tu kau berubah?” Uwais menyoal penuh minat. Dia menumpukan perhatiannya pada perbualan mereka.

“Hmm, sort of. Maksud aku, memang sejak haritu aku jadi lebih menghargai hidup aku. Kedua-dua orang tu Allah ambil dalam masa yang amat singkat. Cikgu tusyen aku tu kena serangan jantung beberapa minit je. Atuk aku pulak disahkan ada gastric cancer final stage tu sebulan je. Lepastu mereka dijemput Allah." Faizul memandang tepat ke kakinya semasa bersuara.

"Ko tau tak, Uwais.” kata Faizul sambil menoleh ke arah sahabat yang telah 2 tahun menjadi rakan serumahnya.

“Hang tak bagitau manalah aku tau.”
“Cikgu Ng tu memang tersangat baik. Dia ajar aku maths dengan sepenuh hati, bersungguh-sungguh. Sebelum ni aku fail je addmath. Alhamdulillah bila belajar dengan dia, Allah mudahkan aku terima pelajaran tu. Tapi sayang, dia meninggal dalam keadaan bukan Islam. Sedangkan di sekelilingnya semua Islam. Rasa jauh sangat. Aku yang muslim ni lah sepatutnya menghargai nikmat Islam yang diwarisi sejak lahir lagi. Dia yang tak muslim pun seperti seorang Muslim. Tinggal belum shahadah je lagi. Dan bila-bila je Allah boleh tarik nyawa kita. Itulah yang buat aku terkesan sangat dengan kematian dua orang yang aku rapat tu.” Ada nada sayu pada suara Faizul.

“Yes, that’s how Allah want to teach us. Itulah tarbiyyah Allah. Dia datangkan pada kita insan-insan atau peristiwa-peristiwa yang mengajar kita. Itu terpulang kepada kita, how we perceive and interpret that. Ada yang ambil pengajaran, ada yang tidak sedar-sedar.” Uwais menerangkan. Padanya mungkin itu respon terbaik untuk situasi tersebut.

“Jadi kau ni pun Allah kurniakan untuk menguji aku ke?” Tanya Faizul pada Uwais, separuh menjerit.

“Of course la, hang tak rasa hang makin rajin dan soleh sejak duduk ngan aku?” Uwais menduga.
“Tak pulak. Tapi yang pastinya aku lebih berjimat beli makanan. Kalau tak, ada T-rex yang mengebas,” balas Faizul sambil menjeling Uwais di sebelah, dia pun rajin mengusik Uwais.

“Chet, ni T-Rex nak hentam hang..!” Uwais menumbuk lengan Faizul tetapi cepat dielaknya.

***********************************************************************************

“Allah tak mungkin tersilap beri ujian kepada hamba-Nya. Seorang guru sejarah mungkin tersilap membawa kertas ujian sejarah tingkatan 1 ke dalam dewan peperiksaan pelajar tahun 4. Untuk Allah, ini mustahil. Whatever ‘paper’ that you get from Allah, it is yours. Allah’s tarbiyyah towards us is a personalized tarbiyyah. Dia takkan tersilap memberi “kertas ujian”. Untuk kamu hanya untuk kamu. Jadi setiap kita punya peranan masing-masing dalam hidup ni. Saya kecilkan lagi, dalam universiti ni. Saya kecilkan lagi, di dalam rumah ini. DaripadaNya kita datang, keranaNya kita hidup, kepadaNyalah kita kembali. Wallahua’lam."

Faizul menamatkan tazkirah kepada rakan serumahnya setelah sesi halaqah tadarus pada malam ke 10 Ramadhan tahun 1430 H. Kemudian dia bersiap-siap untuk mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan ke kelas Farmakologi esok, di Kasrel ‘Ain Medical School, Universiti Kaherah, Mesir.

*****************************************************************************

Tamat.

Leia Mais…

24 August 2009

Ramadhan Kareem



Selamat menjalani ibadah puasa dan menghayati Ramadhan

Ikhlas dari kami.

Dan kami dedikasikan "Thousand Times" ini buat mereka yang bermakna di sisi kami.

Thousand Times

Without your warmth, without your smile
Without you, by my side
The world was so cold, I felt so lost
Without your light, I felt so blind

A thousand miles I'd run and walk
A thousand times I'd slip and fall
But for you I'd do it again
A thousand times

Without your warmth, without your smile
Without you, by my side
The world was so cold, I felt so lost
Without your light, I felt so blind

You gave me hope, you let me dream
Made me believe I can still trust

You raised me up, you gave me wings
Just like a kite in the sky

A thousand miles I'd run and walk
A thousand times I'd slip and fall
But for you I'd do it again
A thousand times

No words are enough to convey
All the things I want to say
I won't even try ‘Cos I know
Deep down you feel how much I care

Now I hold my head up high
I see my dreams coming true
Peace be with you my dearest friend
In my heart you will remain

A thousand miles I'd run and walk
A thousand times I'd slip and fall
But for you I'd do it again
A thousand times

[Sami Yusuf]


Tidak beriman suatu kaum melainkan ia menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri. -Hadis-

Allahu Akram.

Aisyah, Yusra, Izzati.
15-16 ogos 2009
Ladang

Leia Mais…

20 August 2009

Saya tak mahu kerja dengan dia

Hari kedua dipostingkan ke wad psikiatri.

Kes 1

Pesakit psikiatri kebanyakannya bijak-bijak. Mereka tahu memanipulasikan kita jika kita terleka. Saya pun telah ditawarkan untuk bekerja dengan Syiha (bukan nama sebenar). Makan dan tempat tinggal disediakan. Hebat tawaran tu. Asalnya dia meminta duit.

Cepat-cepat saya menjawab, “Alamak takde duitla.”

“Tipula, doktor mana takde duit. “ Bijak sungguh. Mereka laksana kanak-kanak bijak yang tak bisa dikelentong.

“Ala, kak, saya belajar lagi.”

“Kesian ko ye, elaun sikit ye. Jom la kerja dengan akak. Kat uptown. Ko muda lagi, kena kerja siang malam cari duit.” Muncung mulutnya kasihankan saya.

Terkulat-kulat saya mengelak.

Begitulah pesakit schizophrenia, bipolar maniac disorder. Bila datang sakit mereka, kita pun tak larat nak layan. Ini belum kes handphone kita diorang mintak.

Kes 2

Ana (bukan nama sebenar) membelek-belek pakaian saya..“Kau ni luar pakai macam ni.. tapi dalam, hati ko tak bersih.”

Aih, macam mana dia tau?...Hati saya berbisik.

“Yelah, memang kot hati saya tak bersih. Zaman sekarang bukan senang kan, nak cari yang hati betul-betul bersih.” Selamba saya menjawab. Saya setuju, hati saya bukanlah benar-benar bersih.

“Orang macam ko ni la. Ramai orang susah kat luar tu, tapi ko tak tolong pun.” Bising mulutnya mengomel. Tangan pun boleh tahan digoyang-goyangkan, lagak seorang bos memarahi pekerja.

Berpeluh saya fikir nak jawab apa. Rupa-rupanya dia maksudkan begitu kerana saya enggan memberinya seringgit.

Kadang-kadang semasa hendak keluar dari wad, ada yang mengekori kami dari belakang. Cuba-cuba melarikan diri dari pintu yang berkunci automatik. Tapi kami cepat sedar. Sesetengah yang lebih bijak menghantar kami ke muka pintu.

“Terima kasih ye dik, datang lagi. Thank you. Assalamualaikum!”

Itupun kami cepat-cepat sedar dan bersedia. Manalah tahu ada yang sempat keluar.


Realitinya, punca Skizofrenia masih tidak dikenal pasti. Ada kaitannya dengan keturunan/genetic. Tetapi jangan risau, bukanlah bermaksud anak-anak akan mendapat skizofrenia sekiranya si ibu atau bapa mempunyainya.

Sepertimana diabetes dan hipertensi (darah tinggi), faktor keturunan memainkan peranan, tetapi faktor luaran juga memainkan peranan. Rokok, diet, cara hidup, aktiviti seharian, dan sebagainya.

Maka begitu juga dengan skizofrenia, faktor seperti masalah-masalah kehidupan, trauma yang teruk, tekanan yang menjadi faktor risiko terjadinya skizofrenia.

Satu daripada seratus orang menghidap skizofrenia. Quite common, isn’t it?

Berita baik, penyakit ini boleh dikawal dengan ubat-ubatan. Ubat-ubatan inilah yang menghilangkan halusinasi, delusi, tekanan, psychosis. Dengan izin Allah. Mereka boleh melangsungkan kehidupan seperti biasa, dengan lebih, lebih baik. Dan agak meruntunkan hati apabila, pesakit Schizo, atau bipolar mengadu pada doktor (semasa sesi klinik)...

“Diorang cakap saya gila”

“Orang selalu gelak-gelak bila tengok saya”.

Skeptikal inilah yang ada pada kita satu masa dahulu, dan sekarang. Pesakit psikiatri ialah orang gila!

Jangan jangan jangan sekali. Sedangkan sokongan masyarakat sekelilinglah yang sebenarnya membantu proses pemulihan mereka. Jika tidak, satu hari nanti mereka mungkin dihantar ke Tanjung Rambutan atau Tampoi setelah penyakit bertambah kronik.

Setakat ini belum pernah menemubual pesakit lelaki. Pesakit lelaki lagi banyak cabarannya. Makanya saya sedang mengumpulkan kekuatan dan pengetahuan. Targetnya isnin ini.

Tips saya kali ini bersempena dengan Rotation Psychiatry.

Untuk mengelakkan diri dari cepat stres, tertekan, nyanyuk, tiada tujuan/matlamat hidup, jinak-jinakkan diri bergaul dan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, atau berpersatuan. Hidup dan bekerja secara berjamaah terbukti mampu menjauhkan kita daripada masalah psikiatri. Dengan izin Allah.

“Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.”

Ash-Shu’ara’:80

..Ingat ni..

Leia Mais…

04 August 2009

Tampin dan yang sewaktu dengannya


Baru sahaja pulang. Selesai mengemaskan separuh isi beg pakaian, saya teringat ‘dialog kegemaran’ pakar kesihatan keluarga yang menjaga kami sepanjang seminggu di Tampin, Dr Norsiah.


“Betul, cerita ni. Ada orang yang macam tu.” Beliau bersungguh-sungguh meyakinkan kami kisah-kisah yang diceritakannya sepanjang mengajar kami di Tampin.

Tampin, kali pertama mendengarnya terbayang di kepala saya negeri Perak. Alangkah lemahnya pengetahuan geografi saya, rupa-rupanya Tampin merupakan salah satu daerah di Negeri Sembilan! Selama 4 minggu posting family medicine, Tampin telah terpilih sebagai salah satu destinasi berpraktikal.

Biar saya terangkan sedikit apa itu Family Medicine. Family Medicine merupakan salah satu rangkaian kepakaran yang termasuk dalam ruang lingkup primary care medicine. Primary care pula bermaksud salah satu bentuk khidmat kesihatan yang pertama sekali perlu dilalui ataupun dinikmati oleh seseorang pesakit (bahkan yang tidak sakit pun). Klinik kesihatan lah tu. Hospital pulak lain ceritanya, kerana hospital termasuk bawah secondary atau tertiary level of contact dalam medical care.


Dalam kata mudahnya, apa yang kita tengok di dalam wad di hospital tu dah kira sesuatu yang agak teruk, dan perlu dirawat di hospital. Bukan lah di klinik-klinik kesihatan. Klinik kesihatan inilah yang dikatakan primary health centre. Manakala hospital ialah secondary(hospital besar) atau tertiary health centre (hospital pakar, IJN).

Pakar kesihatan keluarga, seperti Dr Norsiah akan dipostingkan ke klinik kesihatan daerah. Berita baik bagi mereka yang mahukan bekerja mengikut waktu pejabat, Family Medicine mungkin bidangnya. Tiada oncall yang ‘kejam’ seperti selalu. Nampak mudah, tetapi untuk memulakan kerja di klinik daerah bukanlah semudah memakan keropok ikan segera, cap pinggan dan keropok yakni “boleh dimakan selalu.”

Dr. Norsiah mengakui, beliau bermula dari bawah.

“Masa saya mula-mula datang sini, lain keadaannya. Salah satu masalah yang saya nampak ialah konflik dalaman. Staf bahagian ni tak nak duduk makan sekali dengan staf bahagian tu… itu ini...Kita sebagai ketua lah yang perlu buat sesuatu. Mula-mula saya..”
… Apa-apapun memang saya selalu bertanyakan pendapat staf dahulu. Sometimes we can become autocratic. But most of the time kena democratic.”

Dari dalam diri Dr Norsiah dan cerita-ceritanya, kami dapat melihat ciri-ciri seorang daie padanya. Sikapnya yang mengajak, pendekatan hikmah, bersabar, kreatif, berkorban……dan baaaaaanyak lagi. Cukup ciri-ciri daie. MasyaAllah. Walaupun dia kelihatan biasa-biasa sahaja. Tetapi pendekatannya luar biasa!
Menjadi Pakar Kesihatan Keluarga, kerjaya beliau tidak hanya berdepan dengan pesakit, bahkan termasuklah memimpin pengurusan di klinik kesihatan.


Kagum apabila pernah mendengar pesakit bertanyakan di kaunter klinik,
“Harini Dr Norsiah ada?. Saya nak jumpa dengan Dr Norsiah.”


Amboi, patient pun boleh pilih doktor. Saya pun hendak memilih lecturer lah kalau begitu.

Beliau melayan setiap butir perkataan yang pesakit katakan. Dan tidak hanya melihat pesakit dan sakit-sakitnya sahaja, tetapi melihat pesakit sebagai individu dan anggota masyarakat.

Kadang-kadang agak kontra dengan doktor ataupun penjawat Melayu, muslim, bahkan sesetengahnya berimej lengkap muslim. Begitu senang memarahi dan mengherdik mereka yang lebih rendah, ataupun dirasakan rendah.

“Siapa yang ambil kayu-kayu ni bekerja?”
Pengalaman seorang kenalan saya yang baru memulakan kerjaya sebagai houseman officer dimarahi medical officer di wad. Bayangkan setiap hari dia perlu bekerja dengan MO tersebut.

Sedih, kadang-kala seorang doktor perempuan yang free hair lebih sopan kata-katanya berbanding yang bertudung.

Hanya hendak mengingatkan kembali diri ini, apa yang kita bawa akan menjadi buah percakapan orang. Janganlah sampai mengundang fitnah kepada Islam.

Islam itu indah dan dah tentu mengindahkan. Sekiranya si pembawa benar-benar bertanggungjawab mengindahkannya. Teringat lirik lagu nasyid yang sering didengari semasa kecil dahulu.

Akhlak yang mulia

Ibarat sekuntum bunga

Walau di mana sahaja

Pasti semua orang suka.



NII

Kuala Lumpur.

Leia Mais…

21 July 2009

Dengan sekali lafaz...

"Perkahwinan bukanlah sekadar memenuhi tuntutan nafsu sahaja. Di sini disebutkan beberapa kelebihan berkahwin menurut..."


Sebelum ini pernah jugak mendengar khutbah nikah, tetapi antara dengar tak dengar saja rasanya. Kali ini mendengar khutbah nikah yang dibacakan ayah, entah terasa sayu. Bakal adik ipar dahpun mengesat mata.

Alhamdulillah dengan sekali lafaz, adinda izaidah sudahpun bergelar pasangan hidup kepada suaminya sekarang, Fikri.

Berkhir sudah babak air mata, kini mereka sah sebagai suami isteri.
Upacara akad nikah dilakukan di Masjid Amru Al-'As di Sentul, berhampiran dengan rumah persinggahan keluarga adik ipar.
Dan diteruskan dengan majlis kesyukuran dibuat di Bangi bertempat di rumah ibu saudara saya.
Kembali ke kampus setelah dua hari dinikahkan, itulah yang perlu dilalui oleh pasangan ini.

"Pilihlah agamanya", begitulah pesan ayah dan umi kepada kami. Kerana itulah juga, akhirnya ayah dan umi akur jodoh Izaidah telah tiba ketika usianya kini 21 tahun.

Secara jujur, saya sangat bersyukur Izaidah telah pun bertemu insan tercatat di Luh Mahfuz yang tercipta untuknya. Doa saya sebagai seorang kakak, moga permulaan yang baik ini menjamin kesudahan yang baik buat mereka berdua.
Bersedialah menggalas tambahan tanggungjawab. Tambahan beban. Bukan untuk menakut-nakutkan, tetapi kemanisan saat mendengar lafaz "Aku terima nikahnya dengan .." yang dilafazkan oleh berjuta lelaki sebelum ini direntet juga dengan kesinambungan yang juga berjuta. Saya tidak berpengalaman, malah jauh lagi mungkin, justeru hanya mampu menceritakan pengalaman orang lain.


"Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya."


Alhamdulillah bagi yang berterusan merasakan kebahagiaan berumahtangga. Bagi yang sebaliknya, inilah masanya perlu mencari solusi dan mengkoreksi.


....Moga ditetapkan hati mereka di jalanMu....
Saya hanya menulis secara umum, kerana entri ini sebenarnya khusus bagi mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin baru.
Selamat menempuh alam kampus dengan hati yang tenang. Saya yakin izaidah mampu membawa anatomy, physiology, biochemistry, dan lain-lain dengan jayanya, berdasarkan kemampuannya yang pernah saya tahu selama ni. (Dik, anggaplah ini kata peransang dari kakakmu yang seorang ni.)

Moga kita beroleh ulama yang soleh dan solehah suatu hari nanti.

Leia Mais…

15 July 2009

Saya di sini

Salam.

Wah, dah lebih sebulan saya tak update blog!
Sebenarnya baru menghabiskan paediatrics posting beberapa hari yang lepas.
Dan peperiksaan yang... tak boleh nak cerita. Kena tunggu result keluar dulu.

Tengah bercuti la ni. Berbaki 4 hari lagi.

Kemudian menziarahi nenek selama 3 hari di Kedah.

Dan sekarang sibuk membantu keluarga bersempena majlis adik yang tinggal beberapa hari saja lagi.

InsyaAllah setelah semuanya selesai harapnya tertunailah hajat saya nak update blog.

Apapun terima kasih kepada semua.

Leia Mais…

01 June 2009

Pasca KRIS 09

Saya sempat menelefon adik saya sebentar tadi. Seusai dia pulang daripada mengikuti Kem Remaja Islam Sarawak (KRIS 09) di Miri.


“Siapa ustaz yang bagi ceramah?”
“Ramai. Ustaz tu, ustaz ni, abang tu, abang
ni...”
“Diorang macam mana?”
“Shamil dah penah dengar dah diorang bagi
ceramah sebelum ni. Heheh, sama je dialog diorang. Lawak yang diorang buat
pun sama. Shamil masih ingat lagi masa pergi kem yang dulu-dulu diorang bagi
pengisian. Memang sama la ayat diorang. ‘Senyum satu, senyum dua,.....”.



Saya hanya tersenyum. Betapa bertuahnya adik saya kerana sudah pun didedahkan dengan pelbagai siri program motivasi, Kem Kepimpinan dan sebagainya sejak awal bangku sekolah menengah lagi sehinggalah dia mencecah ke tingkatan 4 sekarang. Begitu juga dengan Shakirul, abang kepada Shamil.

Seingat saya program yang benar-benar outdoor yang saya ikuti semasa sekolah rendah hanyalah sekali, ketika berada di Tahun 6. Kali pertama saya berjauhan daripada keluarga, selama seminggu. Tiga buah sekolah telah digabungkan iaitu sekolah-sekolah rendah di bawah Majlis Islam Sarawak dari tiga buah daerah. Bintulu, Limbang dan Lawas. Kali pertama saya bergaul sepenuhnya dengan kawan-kawan dari daerah lain. Itupun kesemua kami satu batch tahun 6 (seramai 35 orang) menyertai kem motivasi tersebut. Jadi saya tidaklah merasakan terlalu terasing kerana kawan-kawan sekelas berada di sisi. Teringat lagi kami yang perempuan menangis secara berjemaah selepas solat berjemaah di masjid Maktab Perguruan Sains Bintulu (sekarang UPS kampus bintulu). Ditambah lagi ketika sesi “Recall” teruknya kami basah dengan air mata. Dahlah saya termasuk dalam golongan yang sangat murah air matanya!

Semasa di tingkatan 2, saya menyertai Kem Kepimpinan Jemaah Pemimpin Pelajar, lokasi nya di Taman Negara. Air terjun, rumah rehat, anak sungai. Berjumpa lagi dengan unsur-unsur ke’kem’an seperti menyanyikan lagu tema, diarah oleh Komanden, disembuyikan di balik pokok pada waktu malam, meredah anak sungai, LDK, persembahan kumpulan, dan sebagainya. Lebih bercorak kepimpinan.

Semasa di tingkatan 4 saya terpilih menyertai Kem Remaja Islah, lokasinya di Kem Tentera. Sempatlah saya merasai makanan ala tentera, dan berjalan sambil memerhatikan tentera melalui jalan yang sama setiap hari. Boleh tahan! Tidur di atas katil besi-kain tentera di dalam khemah berlantaikan rumput. Sekali-sekala digigit semut api. Lebih bercorak akademik tetapi sesi brainstormingnya agak mantap dan dekat di hati. Ruang lingkup perbincangannya berkisar soal kami sebagai remaja, pelajar dan sebagai anak. Sikap, peperiksaan, konsep, ibadah dan sebagainya. Yang menarik sekali, pesertanya terdiri daripada latar belakang akademik yang pelbagai, bukan hanya pelajar cemerlang dan yang berkepimpinan semata-mata.

Setelah menamatkan SPM saya sekali lagi menyertai Program Kepimpinan anjuran Yayasan Tun Razak. Kali pertama saya bergaul dengan rakan-rakan dari seluruh Malaysia selama 2 minggu. Program ini agak ‘mewah’. Kami ditaja sepenuhnya makanan, tempat tinggal di sebuah resort, di Papar, Sabah. Program yang bercorak kepimpinan ini menemukan saya dengan perkara-perkara yang tidak pernah saya jumpa sebelum ini. Rakan-rakan peserta yang hebat, berkepimpinan dan berbakat. Terasa amat kecil sekali, tetapi besarnya hati kerana dapat belajar daripada mereka.

Apabila melangkah keluar dari sekolah, barulah saya bebas untuk ke program yang saya sendiri boleh pilih. Dari anjuran fakulti, universiti lain, kelab, alumni, dan sebagainya. Daripada menjadi peserta sehinggalah peringkat-peringkat lain.


Sai’d Hawwa menyatakan jihad ta’lim ialah berusaha bersungguh-sungguh mengajar, memberi ilmu dan mendidik orang-orang yang mahu menghayati Islam.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan
berupa keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk”.
(Al-Baqarah: 159)

Ar-Raghib dalam buku Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah oleh Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal
Islam Kuwait telah mengertikan jihad sebagai usaha yang bersungguh-sungguh dan mengerahkan usaha sepenuhnya dalam menghalang musuh, samada dengan tangan, lisan atau apapun sahaja yang ia mampu. Ini dilakukan dalam tiga bentuk iaitu bermujahadah dengan musuh yang nyata, syaitan dan nafsu. Ketiga-tiga ini termasuk di dalam firman Allah:

“Dan berjihadlah kepada Allah dengan sebenar-benar jihad...”
(Al-Hajj: 78)


”..usaha yang bersungguh-sungguh dan mengerahkan usaha sepenuhnya dalam menghalang musuh, samada dengan tangan, lisan atau apapun sahaja yang ia mampu.”

Apa sahaja objektif program anda,
~Mengenalkan kepada asas Islam, Tasawwur Islam, musuh-musuh Islam
~Mengajar cara mengurus kertas kerja, maklumat
~Mencetus minda peserta supaya ligat berfikir
~Mendedahkan mereka dengan aspek ketahanan mental, fizikal
~Melatih mereka menjadi pemimpin
Dan lain-lain lagi tidak disebutkan di sini.

Asalkan tujuannya “memberi ilmu dan mendidik orang-orang yang mahu menghayati Islam” dan “usaha yang bersungguh-sungguh dan mengerahkan usaha sepenuhnya dalam menghalang musuh, samada dengan tangan, lisan atau apapun sahaja yang ia mampu,” itulah namanya Jihad.
Ikutilah apa-apa pun program. Bergeraklah dengan apa-apa kerja pun dalam program. Inilah salah satu jihad kita, yakni Jihad Ta’lim.

“Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.”
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 39).

Di akhir perbualan selama setengah jam dengan Shamil, saya sempat berkata berkata dengan ‘sempoi’nya,

“Shamil beruntung dah dengar dialog ustaz-ustaz, engineer tu berulang kali. Tapi
tak semua kawan-kawan Shamil yang datang tu pernah dengar semua tu kan. Takpe,
Shamil ‘layan’ je semua tu. Lagipun kalau ulang selalu kita jadi semakin
ingat.”


Umpama kita juga sudah sangat biasa dengan solat. Al-Fatihah sehari paling kurang 17 kali. Tapi ingatkah kita maksud bait-bait dalam Surah Fatihah yang kita baca sejak di sekolah tadika itu?

Andaikata kita ingat, terkesankah kita dengan satu-persatu maksudnya?
Seorang pakar bedah sudah tentu sangat familiar dengan anatomi badan manusia, tetapi tanpa pengalaman membedah lima puluh ke seratus kali abdomen manusia, adakah dia akan menjadi ‘sepakar’ itu?
Dan pastinya setiap pengulangan membawa nilai yang berbeza yang boleh kita kutip.

Saya teringat pernah mendengar komen daripada seorang peserta program yang saya hadiri sebagai pemerhati,

“Balik-balik ciri-ciri Islam. Tak best ah. Buatlah pengisian lain.”


Pedas komen tersebut. Tapi saya pulangkan pada diri peserta tersebut dan ajk pelaksana untuk fikirkan balik. Kalau diulang berkali-kali pun, bukannya kita ingat. Mendengar dah tentu senang, tapi kalau disuruh ulang balik satu-satu ciri Islam, dan aplikasinya dalam bab dalil, sirah, isu semasa, walapun 5 kali kita pernah mendengar perkara yang sama, belum tentu kita boleh keluarkan balik dengan cantik.

Dan pada ajk program, perlu kita terima, “client” kita zaman sekarang berlainan sekali dengan “client” sezaman dengan kita. Sekreatif manapun kita, lagi bijak dan lagi matang “client” tersebut untuk menerima input tersebut. Lagi bijak bermakna lagi ‘cerewet’ dan lagi banyak kerenah.
Tapi itulah yang kita hendak. Peserta yang tidak hanya disuap dan disogok dengan maklumat. Biarlah program itu sebagai medan yang mencetus pesertanya untuk mencari ilmu di luar kelak. Program bukan satu-satunya tempat kita mencedok ilmu.
Sebelum terlupa, dokumentasi program juga sangat penting untuk tujuan penambahbaikan dan rujukan di masa akan datang.

Terima kasih banyak kepada pelaksana KRIS 09. Fasilitator, ajk belakang tabir, penaja.
Tidak lupa mereka yang dekat dengan saya iaitu ayah, umi dan izaidah yang menghulurkan tangan membantu di sana. Maafkan saya hanya mendengar dari sini. Kita semai benih untuk dunia kita, akhirat kita.

Leia Mais…

31 May 2009

~

"Kalau Allah menghendaki kita kuat, tiada siapa pun yang bisa melemahkan kita."

Terima kasih Aisyah.

Leia Mais…

21 May 2009

Ada penawar?

Saya teringat semasa masih di bangku sekolah rendah. Sekiranya terasa badan sudah panas, tekak kering dan perit, hidung sudah berair, saya akan mengadu pada ayah.

“Ayah, sakit tekak.”

“ Nak demam la tu, nanti ayah bagi panadol.”

Sebagai kanak-kanak saya tidak berpuas hati dengan jawapan ayah tadi.
“Orang bukan nak ubatlah ayah.”

“Habistu, anak ayah nak apa?”

Saya sendiri pun terdiam dan tidak tahu untuk meminta apa.
“Manalah tau. Tapi taknak ubat.”

Bila saya mengadu pada mak,
“Umi, tadi jatuh kat jalan, sakit.”

“Mana, mari sini umi nak tengok. Ni kena urut sikit ni. Kesian anak umi jatuh.”
Bila mendengar jawapan umi, tidak tahu kenapa saya rasa sangat lega.

Bila saya mulai besar, baru saya faham mengapa saya tidak berkehendakkan ubat ketika demam. Dan kenapa saya tidak berpuas hati kadang-kadang dengan jawapan kepada aduan saya.

Sebenarnya saya hanya berkehendakkan perhatian mereka. Tak perlu ubat pun. Semudah kata-kata “Yeke, kesian anak ayah.” Dan perlakuan-perlakuan yang menunjukkan perhatian dan kasih pada si anak seperti menyapu-nyapu dan meniup-niup tempat yang sakit, lebih mujarab me’ngubati’ penyakit si anak.

Demam hanyalah presenting problem. Tapi kasihlah yang dibutuhi.

Saya teringat akan pelajaran-pelajaran kami selama ini. Kebanyakan penyakit tidak diberikan ubat yang melenyapkan atau menghapuskan punca datangnya penyakit. Seperti demam denggi, tiada ubat yang menyembuhkan denggi dalam erti kata membunuh virus denggi. Namun sebenarnya sistem pertahanan badan kita sendiri diciptakan sebegitu hebat untuk menghasilkan immunoglobulin yang ‘menghapuskan’ virus denggi. Rawatan untuk denggi ialah menggantikan cecair yang hilang daripada badan. Seperti minum banyak air, dan memasukkan air (intravenous fluid) untuk menggantikan jumlah air yang hilang. Dan mengawasi tanda-tanda yang disyaki ialah komplikasi teruk daripada denggi.

Jika kita lihat penyakit-penyakit lain, seperti kencing manis, darah tinggi, parkinson, dan banyak lagi penyakit lain, prinsip merawatnya ialah mengawal atau mengurangkan simptom dan mengelakkan komplikasi yang lebih teruk. Kencing manis tetap wujud,pesakit parkinson tetap punya kerosakan pada sistem sarafnya. Tiada penawar, cuma ada rawatannya.


Memang terdapat antibiotik, antiTB(untuk batuk kering aka TB), antivirus, antifungus. Namun betapa sakit tetap memerlukan rawatan berunsurkan memulihkan simptom dan kesakitan seperti penahan sakit, tambah darah. Malahan sesetengah pesakit lebih perlukan jagaan, kasih sayang dan perhatian berbanding diberi ubat hospital.



Mungkin pada masa akan datang kita juga perlukan klinik khas untuk penyakit ‘hati’.
Dan bukanlah setiap orang yang datang kepada kita dengan masalah memerlukan penyelesaian kepada masalahnya. Kalau kita sedar, kebanyakannya hanya meminta dirinya didengari berbanding meminta masalahnya diselesaikan.

~Harap masih belum terlambat untuk saya ucapkan SELAMAT HARI PENDIDIK kepada semua yang pernah hadir dalam hidup saya mengajar erti dan nilai kehidupan~

Leia Mais…

15 May 2009

E.S.I

Beberapa jam saja lagi bakal menjejakkan kaki kembali ke bumi tempatku menadah ilmu semenjak 5 tahun yang lalu.

Welcome to year 5 Izzati.
Seperti biasa persiapkan emosimu, rohanimu akalmu sekali lagi.
Emotionally, spiritually, intellectually. (E.S.I)

Welcome babies of Hospital Ampang and Temerloh.
Can't wait to do moro reflex on you babies.

Welcome workload.

Allah terimalah ini usaha ini sebagai amal ibadatku dan peringatkanku untuk sentiasa ikhlaskan hati.

Leia Mais…

09 May 2009

Fasa baru kehidupan mereka

Selamat Pengantin Baru buat adikku Ruh Akmal Abdul Razak dan Mohd Sobrie.



Yang diijabkabulkan semalam, di Terenganu. (Foto diambil daripada aw3rz.)



Moga terus-menerus diberikan kekuatan dan kebahagiaan sepanjang mengemudi bahtera kehidupan.


-Kak Izzati kamu-

Leia Mais…

05 May 2009

Antara ADAB dan PERATURAN

Bersempena dengan Posting Paediatrics yang akan bermula tak lama lagi, dan juga posting-posting seterusnya. Entri ini khusus untuk kawan-kawan sepengajian saya, kepada yang lain, silakan membaca perkongsian ini.

*******
Sememangnya tiada peraturan ditetapkan dalam posting-posting kita untuk tahun klinikal ini. Tetapi janganlah kita lupa, walaupun tiada peraturan, masih ada Adab kesopanan yang melingkari kita. Antaranya, saya cuba kongsikan.

Pensyarah, Ilmu, etc.
Saya faham disebabkan jarak hostel yang dekat, kita cenderung untuk sampai ke kelas tepat pada minitnya. . Tetapi mungkin terlajak sampai sehingga 10 minit lewat. Apabila ada kelas awal pagi, saya menyeru kepada diri sendiri dan anda semua, marilah kita cuba untuk sampai lebih awal daripada Pensyarah. Ini soal adab kita terhadap guru, dan ilmu.

Apabila berurusan dengan Pensyarah, rendahkan suara, tapi perjelaskan butiran perkataan. Itulah tuntutan berkomunikasi dengan guru. Apabila menjawab soalan atau menyelesaikan masalah perlulah lebih berkeyakinan.

Selalu juga apabila menanyakan pensyarah tentang kelas esoknya, seboleh-bolehnya elakkan nada atau penggunaan perkataan yang mendesak, tak sabar dan sebagainya. Kita cuba seboleh-bolehnya letakkan tempat kita di tempat Pensyarah tersebut sebelum menelefon dan sebagainya.
Kadang-kadang mereka mungkin sedang berehat, bersama keluarga, sedang bekerja. Hormati hak kehidupan mereka.

Mungkin boleh tanya dengan cara ini,
“Prof, are you free now? If U free now, can I call you, cause I need to ask something about my case presentation tomorrow.”
(maaf, ni ayat contoh je.)

Begitu juga apabila berurusan dengan pakcik atau abang drebar, janganlah bernada memaksa dan tidak sabar meminta kita diambil tepat pada masanya.

Pesakit
Di dalam wad pula, apabila kita diminta tidak mengganggu pesakit yang agak tidak seimbang kesihatan emosi dan rohaninya, patuhilah arahan itu. Apabila kita diminta untuk tidak beramai-ramai berkumpul dalam satu kubikel, atau satu bilik, permintaan itu sememangnya bermaksud sebegitu. Mungkin dari sudut lain kalau mematuhi, kita akan dilihat sebagai mematuhi arahan, budak baik, dan tak dianggap tamak dalam belajar (ada jugak istilah tamak dalam belajar). Tapi ingatlah sebenarnya kita sebenarnya diminta untuk beradab.
Letakkan diri kita di tempat pesakit, dah pasti kita tak suka dilihat oleh segerombolan manusia yang ramai. Dan tidak suka dipegang dan disentuh oleh ramai orang. Dan tidak suka disoal bermacam-macam soalan berulang-ulang kali.

Saya teringat lagi datuk saya yang telah pun meninggalkan kami 4 tahun yang lalu. Ketika sakit di hospital. Dia mengadu kepada mak dan pakcik makcik saya bahawa apabila abdomennya telah dipegang-pegang, ditekan-tekan, dan diketuk-ketuk berulang kali oleh para pelajar perubatan, dia berasa sangat sakit. Setelah di'sakiti', ditanya banyak soalan pula.
Saya faham, betapa kita cuba untuk palpate dan percuss, ambil sejarah penyakit, tetapi Atuk saya sedang dalam kesakitan. Bayangkan kesakitan yang dia sedang hadapi kerana berada di peringkat ketiga (saya agak-agak) Cancer head of pancreas. (Dia meninggalkan kami sebulan selepas itu.)
Berpada-padalah dalam keghairahan semangat kita mencari ilmu. Sekali pesakit kelihatan dalam kesakitan ataupun mengadu sakit, maka berhentilah. Mengetahui bila masanya patut dipegang atau diketuk dan bila masanya untuk berhenti pun adalah ilmu.

Rakan sepengajian
Dan adab dengan sahabat satu pengajian. Banyak. Rasanya tak perlulah saya sebutkan satu-satu. Biarlah siapa pun kita di luar, baik atau jahat, bila soal bercakap, berurusan dengan kawan, janganlah lupakan adab. Adab itu tuntutan, dan bukan peraturan posting, kumpulan dan sebagainya.

Saya memuji sikap rakan-rakan sekelas yang masih mengekalkan adab apabila bercakap dengan yang lain. Tidak kiralah siapapun atau bagaimanapun mereka di luar, itu cerita lain. Apabila diminta pertolongan, mereka hulurkan pertolongan. Adab perempuan dengan lelaki, perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki. Hormatilah sahabat anda walau siapapun dia. Kalau kita mampu beradab dengan jiran sebelah rumah, ataupun pekedai runcit, dan tok imam, begitulah juga kita beradab dengan sahabat kita.

Ingatlah, adab ni mencerminkan tamadun kita sebagai manusia. Apa gunanya berilmu jika tidak beradab.

Fikirkan kembali sekiranya kita ini jenis yang bermasam muka atau tidak puas hati dengan rakan yang rezekinya murah (markah presentation, bilangan kes, dipuji pensyarah).

“Kau harap kat pronunciation sedap je, tu pasal dapat 8”.
nota kaki: (markah penuh ialah 10)

Sebabnya bila tiba rezeki kita yang murah, kita juga mempertahankan itu adalah atas usaha dan rezeki baik kita. Tidak sebab pronounciation sedap, bias gender, atau sebagainya.
“Aku memang dah banyak kali dapat kes pneumonia ni, kire soalan bocor je la. Sebab tu dapat 9.”

Ini juga pesanan dari saya sebagai manusia kepada semua yang bergelar manusia; “Hati yang bahagia ialah hati yang berbahagia dengan kebahagiaan orang lain.”

******
Tujuan saya menyebut hal-hal ini ialah kerana saya sendiri pun sedang belajar dan menyesuaikan diri dengan hal berkaitan adab ini. Dan anda semua kawan-kawan saya pun sedang belajar. Kita semua manusia biasa yang tak lekang dari kesilapan. Maklumlah, saya selalu terlupa bahawa saya seorang penuntut ilmu bukan sahaja daripada pensyarah, malah daripada pesakit, daripada staf perubatan. Dan kita juaga merupakan seorang sahabat kepada rakan kita. Sekiranya ada yang menegur terlalu ramai student dalam labor room, dalam kubikel, ED, saya berpendapat di situlah silapnya saya atau kita. Bahawa kita kurang arif tentang adab. Atau lupakan hal itu kerana hal-hal lain lebih dikejar. Kita fikir tentang perkara ni.

Sememangnya tiada peraturan yang ditetapkan. Sahabat kita tidak minta pun kita beradab kepada mereka. Tetapi adab itu tuntutan. Marilah kita menjadi insan yang beradab dahulu. Tentang adab orang lain terhadap kita, itu nombor dua.

Yang berkata ini bukanlah yang terbaik, tetapi anggaplah ini sebagai perkongsian dan pesanan ikhlas dari saya. Maafkan saya kerana saya tak punya Quotes yang sedap-sedap dan tak pandai berbahasa yang canggih-canggih. Saya berdoa entri dijauhkan dari kepentingan diri dan emosi saya. Maaf andai tersilap memilih kata. Kefahaman anda sangatlah dihargai.

Wallahua’lam.

Leia Mais…

13 April 2009

KEM REMAJA ISLAM SARAWAK 2009

Meniti alam yang mencurah pelbagai rasa,

Sarawak berteriakan menanti.Jaringan ISLAM perluaskan!

Ayuh!

MISI memperhebatkan dakwah!!!!!!


Sorotan sejarah dan keratan akhbar, banyak memaparkan kisah-kisah anak-anak remaja kini yang diserangi penyakit "misteri", hingga mereka lupa siapa diri mereka. Ada yang hingga lupa bahawa "solat itu adalah tiang agama".Yang dasyatnya, ada yang tidak tahu apa itu "syahadah". Na'uzubillah. Lagi-lagi di bumi Kenyalang. Cabaran anak-anak remaja Islam adalah hebat. Berhadapan dengan budaya asing. Hingga Buta pada intipati keISLAMan yang sebenar, ISLAM yang syumuliah, alamiah, waqi'ah dan lain-lain . Anutan ISLAM mereka menjadi ISLAM Sekularisme. ISLAM Liberalisme. Malah yang dasyatnya, tak tahu apa maksud ISLAM.


Atas ini, YAYASAN AMAL, JABATAN AGAMA ISLAM SARAWAK dan PERSATUAN MAHASISWA ISLAM SARAWAK mengambil inisiatif untuk mengelola KEM REMAJA ISLAM 2009 di MIRI.

Intipatinya:





Assalamualaikum wrh bkth,InsyaALLAH, Sahabat dan sahabiah yang dirahmati ALLAH, pada 29/5/2009 - 2/6/2009 , Yayasan AMAL cawangan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama ISLAM Sarawak, dan PErsatuan Mahasiswa Islam Sarawak (PERMIS) akan menganjur KEM REMAJA ISLAM 2009, di MIRI. Sebarangan maklumat boleh sahaja berhubung terus dengan Sdr Mohamad Syukrani pada talian 019-8832372 atau email syukrans@gmail.com atau sdri Halida Untong pada talian 0168315145 atau email ida_leeda@yahoo.com

Kami juga berasa rendah hati untuk memohon sumbangan untuk kelancaran Program KEM REMAJA ISLAM 2009 , boleh lah terus menyumbang ke Akaun Bank Islam "Yayasan Amal Malaysia Caw Sarawak Unit Miri "11022010032002". Segala baik budi pihak tuan, amatlah kami hargai. Dengan sehubungan dengan itu, diharap pihak tuan, boleh maklumkan seberapa jumlah yang telah dimasukkan kepada pihak berkenaan untuk mempermudahkan segala urusan kelak:


Saudara Zhaharudin di talian 0133190529


Saudari Maliana di talian 0196006925

-ihsan 'copy paste' daripada blog kak maliana...Kak, makseh!!-

Leia Mais…