Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

31 January 2009

Mengapa bidang perubatan?

Mengapa memilih menjadi doktor? Mungkin saya belum selayak itu untuk menjawab, manakan tidak, saya masih seorang pelajar perubatan, belum tamat belajar apatah lagi bergelar pengamal perubatan. Diri terasa kecil tatkala berada di wad, dikelilingi HO, MO dan Pakar, masih sebagai pelajar.

Mengapa saya memilih menjadi doktor? Apakah tiada kerjaya lain yang tidak memerlukan kita dimarah patient, bos, tidak perlu berdepan dengan pesakit yang banyak ragam , perangai, tidak mahu dengar kata. Bagi si doktor wanita pula, bukankah lebih baik mereka memilih kerjaya yang tidak berapa sibuk, manakan hendak menjaga dan mendidik anak, suami pun jarang berjumpa akibat oncall atau emergency lagi-lagi sekiranya terlibat dengan jawatan atau bidang yang sibuk seperti seorang House Officer atau surgeon atau obstetrician dan sebagainya.

Ada sahabat mengatakan, dia memilih jurusan perubatan kerana tidak tahu apa lagi bidang yang boleh dipilihnya selain bidang perubatan.

Seorang lagi menjawab, katanya, menjadi doktor akan membuatkan dia jauh daripada berbuat jahat. Mungkin teori ini sesuai diaplikasikan pada sahabat tersebut. Ya, kita banyak diajar tentang etika, bagaimana berhadapan dengan pesakit, keluarga pesakit, dan pelbagai prosedur dan protokol yang perlu dilalui, maka kita tidak begitu terjurus ke arah kejahatan. Saya bersetuju dengan pendapatnya, kerana kerjaya doktor memerlukan kita sentiasa berbuat baik, dan selalunya kita akan kelihatan baik, tetapi kenapa masih ada doktor yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan yang bukan sahaja melanggar etika kedoktoran, malah etika kemanusiaan sendiri, bahkan lebih teruk (tapi kelihatannya biasa di mata masyarakat) melanggar apa yang digariskan syarak.

Kita banyak ’berlakon’ dan menghafal skrip semasa berhadapan dengan pesakit. Skrip dan aksi yang diulang-ulang setiap kali peperiksaan klinikal dan semasa berada di hadapan pakar. Dan akhirnya lakonan tersebut menjadi biasa dan skrip tersebut telahpun dihafal hanya tinggal meluahkannya sahaja. Hatta lakonan tersebut biasanya akan bertambah baik dan tampak ’real’ dari tahun ke tahun. Kita akan terbiasa dengan langkah-langkah tersebut. Namun sebenarnya kita kan sedari yang akhirnya keikhlasan tersebut akan datang perlahan demi perlahan. Kita tidak lagi berlakon, malah kita tahu dan faham mengapa perlunya bercakap dengan baik dan membina rapport ketika berhadapan dengan pesakit. Kita kan faham apa dan mengapa perlu adab-adab ketika berhadapan dengan pesakit.

Maka saya tidak ada jawapan kepada persoalan ’kenapa menjadi doktor?’. Saya juga melihat mengapa saya memilih menjadi doktor dari perspektif saya sendiri. Saya bukanlah seorang yang dikatakan excellent student atau bright one namun peluang untuk saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, bagi saya adalah lebih kepada rezeki dan rahmat Allah. Bidang lain pun bukanlah bidang yang rendah tarafnya, malah sebenarnya sama penting atau lebih penting daripada bidang perubatan. Ah, sekali lagi kepala saya pening.

Dahulu, saya memilih perubatan kerana bagi saya bidang ini antara bidang yang superior, kalau bukan aku, siapa lagi yang nak mempelajarinya (waah, riak sekali ya).
Terselit juga niat di hati untuk membantu keluarga dan masyarakat. Bukan sahaja dari segi kewangan malah khidmat perubatan (cheewah, kalaulah semudah tu), kaunseling perubatan.

Juga untuk memenuhi hasrat dan keinginan ayah umi,yang mahukan anaknya menjadi doktor. Sebenarnya sejak kecil pun saya telah dipupuk minat untuk menjadi doktor oleh ibu bapa saya.

Untuk membuktikan bahawa saya boleh dan saya mampu menjadi doktor, kepada mereka yang memandang kecil kepada saya; seorang yang tidak berapa kelihatan kecerdikannya, yang kuat menangis semasa kecil di sekolah, yang nampak senang untuk dibuli, yang tidak berapa menyerlah di kalangan adik beradiknya, tetapi bila dipuji sedikit akan berasa seronok dan perasan sehingga pulang ke rumah.

Setelah bergelar pelajar perubatan, saya masih tidak merasai perasaan untuk menjadi doktor, malah hanya menjalani rutin-rutin menghadiri kuliah, peperiksaan.

Sehinggalah saya memasuki fasa klinikal di tahun 4, barulah saya terpukul dengan satu perasaan. Setelah mendengar kata salah seorang pensyarah saya,

"Semua di kalangan kita ada hanya satu destinasi. Destinasi yang sama pasti, iaitu akhirat. Jangka masa yang paling pendek dalam fasa-fasa kita sebagai makhluk ialah fasa kehidupan di dunia. Tapi pelik, apa yang paling kita kejar ialah kehidupan dunia, yakni fasa terpendek dalam perjalanan seorang makhluk. Jadi akan timbullah soalan- Berapa ye, gaji kalau jadi specialist? atau Sibuk tak jadi surgeon?.”
dan pensyarah tersebut mengakhiri pesanannya dengan kata-kata yang saya takkan lupakan.

”Hidup ni ibarat kita sedang melalui satu perjalanan menuju ke satu destinasi yang memang pasti. Menjadi doktor hanyalah ”ALAT” untuk sampai ke destinasi tersebut.”

MasyaAllah, selama ini, kerjaya yang saya agung-agungkan rupanya hanyalah ALAT. Bukan tujuan. Saya sendiri masih tidak dapat menjawab soalan mengapa memilih menjadi doktor, tetapi, dengan melalui jalan yang menuju ke arahnya (yakni pelajar perubatan) telah banyak membuka mata saya. Kelak apabila bergelar doktor, kami tidak berurusan dengan wang, kertas, mesin, kenderaan, atau komputer, tetapi kami berurusan dengan sesempurna makhluk, iaitu manusia, sangat berkait rapat dengan hubungan sesama manusia, yang kaya dengan emosi, perasaan, kehendak, dan sebagainya.

Setiap masalah atau penyakit akan ada penawar. Tetapi saya juga belajar bahawa tidak semua pengakhiran adalah baik. Kadangkala kami akan berhadapan dengan kegagalan, kegagalan yang melibatkan manusia. Sekiranya nasib tidak menyebelahi, kegagalan tersebut akan dituding kepada kami. Seperti yang kita baca di dada akhbar. Tetapi memerlukan kita melakukan seribu kebaikan untuk kita dihargai di dada akhbar. Mujurlah Allah Maha Adil. Semuanya kan diadili seadil-adilnya. Maka tugas kitalah untuk sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebagai doktor, bukan sahaja membantu merawat penyakit zahir, malah penyakit hati, yang tak ternampak oleh zahir.

Saya rasa sudah cukuplah saya membebel pada entri kali ini. Saya masih lagi dalam perjalanan mengumpul kepingan-kepingan mozek “Tujuan saya memilih menjadi doktor”.



"Dan apakah Kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

(Al Mu'minuun : 115)

Leia Mais…

13 January 2009

Pasti akan tiba juga

Saya tidak pandai berbahasa. Apatah lagi yang puitis. Tapi saya punya kata ingin di kongsikan



SAAT ITU PASTI KAN KUNJUNG TIBA


Ku tidak punya jawapan untuk dunia

Ku tidak sediakan jawapan untuk dunia

Baik kata-kata putik atau bunga

Mahupun hujah pencantas

Seluruh bicara mereka

Ku tak punya semuanya

Wahai dunia


Ku taknak lagi mengundang andaian

Namun ku tak mampu untuk berhenti mengundangnya

Andaian akan terus diundang dan datang

Tanpa disengaja

Yang datang kan kemudiannya pergi

Tapi kan diganti andaian lainnya



Biarlah aku teruskan liku-liku

Asalkan ku tau kebenaran

Dan apa yang ku perbuat

Wahai dunia, nantikanlah kesudahannya

Pasti akan tiba jua

Saatnya pasti jua



Ditujukan kepada sesuatu, seseorang, entiti yang dinamakan Islam. Islam kan terus dipandang kecil, dicemuh, diberi pandangan yang tidak sepatutnya. Tetapi Islam kan pasti dipandang ‘lurus’ juga akhirnya. Seperti janji Tuhan.

Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.
(As-Saff:9)




..

Leia Mais…

Praktikal di Klinik Swasta

GP posting kali ini telahpun sampai ke kemuncaknya. Tinggal dua hari saja lagi saya bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Klinik Haizam, tempat saya memilih untuk dihantar untuk GP posting kali ini. Inilah adalah posting saya yang paling longgar. Saya hanya perlu ke klinik setiap hari bemula jam 8 pagi sehinggalah 12 tengah hari. Kali ini saya dihantar dan dijemput oleh ayah saya, tidak seperti posting-posting semasa di Hospital Ampang, kami perlu berjalan kaki meredah hujan dan mentari untuk berulang-alik dari asrama ke hospital. Bersyukur jaraknya tidaklah begitu jauh, lebih kurang 5 minit berjalan kaki, tapi hairan, masih ada yang bermotosikal.

General practitioner posting (GP posting) memerlukan kami untuk dihantar ke klinik-klinik swasta, hanya mengambil masa selama 3 minggu tidak seperti posting-posting lain sebelum ini yang memakan masa 8 minggu untuk setiap posting. Jikalau sebelum ini semua di kalangan kami berpraktikal di Hospital Ampang dan hospital Temerloh, tapi bagi GP posting, kami kembali ke daerah masing-masing dan berpraktikal di sini. Jika sebelum ini kami berhadapan dengan pesakit-pesakit dan staf-staf dari Ampang dan Temerloh dan di sekitarnya, maka kali ini kami berhadapan dengan komuniti masyarakat dari daerah kami sendiri. Namun saya tak menyangkal bahawa sepanjang berada di kedua-dua hospital tempat saya berpraktikal, tidak pernah lagi saya tidak berjumpa dengan staff nurse atau Jururawat masyarakat yang berasal dari Kelantan dan Terengganu. Mereka pasti ada.

Jika sebelum ini kami bergerak secara berkumpulan dalam kebanyakan rutin kami di hospital, kali ini saya keseorangan. Tiada lagi Syifaa untuk ber’ ojus atau ber’ozom untuk memperkenalkan diri kepada doktor, ataupun memberanikan diri untuk mengambil darah. Ataupun untuk diajak menemani semasa ‘clerk’ pesakit. Dan tiada lagi As, Fizah, Tikah, Anum, dan Saarah untuk diajak makan tengah hari. Saya tidak merasakan saya seperti “Saya Nur Izzati, Student Usim” lagi di ketika itu. Tetapi saya merasakan saya seolah-olah seperti Izzati yang hendak membeli goreng pisang di pasar malam di daerah miri 12 tahun yang lalu. Izzati yang tidak berani mengangkatkan mukanya semasa kecil tatkala berhadapan dengan makcik yang datang beraya. Mungkin kerana saya berada di Miri, saya di’aura’kan dengan situasi ‘tak berani’ ataupun dengan kata directnya ‘penakut’, sikap yang saya miliki sejak kecil. Saya mulai punya ‘mulut’ setelah berada di bangku sekolah menengah, mungkin kerana bawaan kawan-kawan.


Selama seminggu lebih tempohnya di klinik saya dibelenggu dengan X-factor tersebut. Hanya menjawab bila ditanya. Hanya duduk bila disuruh. Apatah lagi nurse dan staf di klinik pun sangat baik hati dan memanjakan saya dengan memberikan tempat duduk setiap kali saya dilihat bersendirian atau dipercayai bersendiri dan tidak tahu apa yang hendak dibuat.

Alhamdulillah, hari ketiga minggu kedua saya dah mula mendapatkan kembali aura “Nur Izzati, Pelajar Usim”, ataupun rentak yang sepatutnya.

"Better late than never"

Saya mula berjalan-jalan di dalam ruang kerja klinik dan menawarkan diri kepada staf klinik membuat kerja-kerja kebajikan, seperti mencari ‘case report’ ataupun kad catatan maklumat pesakit yang beribu bilangannya (Klinik ini tidak menggunakan sistem berkomputer untuk menyimpan data pesakit). Usia klinik ini ialah 21 tahun, kurang setahun daripada usia saya. Klinik ini tidaklah begitu besar, tapi masih berada di tahap yang agak selesa untuk dikunjung. Pemiliknya, seorang doktor yang memang saya sangat kenali sejak kecil, dan anak sulungnya yang kini menuntut di Alexandria juga bakal doktor, sebaya dengan adik saya, Izaidah.


“URTI (Upper Respiratory Tract Infection a.k.a batuk, selsema, demam, sakit tekak) is the bread and butter in GPs,” begitulah terang doktor kepadaku. Kadang-kadang terdapat juga ‘otitis media secondary to URTI’ ataupun jangkitan berkenaan dengan saluran pendengaran, kesan daripada URTI. Juga terdapat beberapa kes lain yang saya sempat sama ada lihat bersama doktor, ‘clerk’(ambil sejarah penyakit), ataupun turut serta melakukan pemeriksaan-pemeriksaan yang berkenaan seperti:


1. Khatan (ini hanya kes yang di’follow up’, saya tidak melakukan prosedur mengkhatan)
2. Axillary abscess
3. UTI
4. Shiggles
5. Pregnancy
6. Eczema, gatal-gatal, asthma, dan yang sewaktu dengannya (allergy)
7. Backpain, bone pain, joint pain
8. Medical checkup (Cook, offshore for Petronas@Shell@lain-lain, student)
9. Follow up dan ambil ubat untuk darah tinggi, kencing manis
10. Respiratory disease (TB, suspected mitotic lesion@kanser)
11. Ambil ubat dan sijil cuti sakit
12. Dan sebagainya yang tidak sempat saya senaraikan di sini.


Saya telah menemui sendiri bakat semulajadi yang ada pada diri ini, menyebabkan kehadiran saya di klinik amat berguna kepada doktor. Bakat yang tidak ada dan tidak mungkin akan ada pada kaum adam, iaitu sebagai ‘chaperone’ doktor. Chaperone bermaksud saya bertindak sebagai ‘peneman’ kepada doktor lelaki yang melakukan apa-apa pemeriksaan ataupun prosedur kepada pesakit perempuan.

Setakat ini saya hanya membantu doktor melakukan kerja-kerja seperti (saya sangat suka menyenarai):
1. Clerk patient (history and some examination)
2. Chaperone (bakat semulajadi saya) semasa ultrasound, examination
3. Memasang elektrod ECG
4. Melakukan ujian-ujian air kencing seperti Dipstick, UPT
5. Medical checkup (Blood pressure, BMI)-saya sebenarnya banyak melambatkan kerja-kerja mereka. Maklumlah kita tegar nak dapatkan accurate reading, mereka kesempitan masa.
6. Mengisi borang untuk order ‘investigation’.


Dan doktor sangat suka memberikan saya ‘homework’ untuk dibaca dan disoal semula keesokan harinya. Saya sendiri jatuh minat dangan buku-buku kepunyaan doktor, dan nota-nota doktor yang dibuatnya semasa zaman siswanya dulu.


Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor, akak-akak (dan adik) yang bekerja di klinik dengan ucapan jutaan terima kasih. Kalian banyak membantu saya dan melayan saya dengan sangat baik. Doktor Haizam yang menganggap saya seperti anak sendiri, staf klinik dan jururawat; Pamela, Kak Pauline, Kak Sue, Kak Jiah, Kak Idah yang selalu menawarkan saya biskut dan kuih mereka semasa saya dipercayai dalam keadaan tiada kerja yang hendak dibuat. Dan terima kasih kerana menawarkan membuat prosedur, menunjuk ajar dan melayan saya seperti tuan puteri.

Saya juga sangat menghargai keramahan pesakit, dan saudara-mara pesakit yang menjawab soalan saya dengan penuh sopan dan mesra, tidak memandang kecil kepada saya yang hanyalah seorang ‘student doctor’. Betapa saya menyanjungi keramahan budi dan kerendahan hati masyarakat daripada tempat saya sendiri. Kadang-kadang saya yang naik segan kepada mereka.


Saya paling bersyukur kerana diberi peluang olehNya untuk meluangkan lebih masa bersama-sama ayah dan umi semasa berada dalam posting ini. Saya akan kembali ke Ampang dan meneruskan pengajian dan praktikal. Mohon doakan.



..

Leia Mais…

09 January 2009

[Ku pinta Kau Kira ia] & [Kembalikan Islam yang realiti dan tulen]

Aku malu.Aku malu kerana aku hanya mampu men'copy' 'paste'.
Tetapi jadi tidak malu kerana ku tahu tujuan ku berbuat begitu.

Kuseru para pembaca sekalian...

Kita punya mata, telinga,mulut

Apakah apa yang kita lihat,baca
Apakah apa yang kita dengar
Apakah apa yang kita kata,
Apakah apa yang kita fikir..
Boleh mengubah masa depan Palestin?

Kami tangisi keporak-perandaanmu Gaza
Kami ratapi pemergianmu duhai umat palestin
Yang rosak di tangan la'natullah
Krisis kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia


Kami kecam mereka di luar sana
Israel dan sekutunya
Yang mengkhianati perjanjian
berkali-kali mereka khianat
Yang kononnya nak mengekalkan keamanan
Juga kami kecam mereka yang tak hirau akanmu Palestin
Padahal mereka saudara seagamamu


Kembalilah ke tanahmu Palestin
Tanahmu juga milik kami umat Islam
Al-Quds...Al-Aqsa
Kami TAK RELA Al-Aqsa kami tergadai

Kan kami SATUKAN umat Islam
Kan kami dapatkan kembali hak kamu
Hancurlah Yahudi dan sekutunya!!!

Maka ku ingin berkongsi dengan kalian, salah satu entri daripada laman saifulislam.com
Ku pinta Ya Allah, pandanglah amalanku ini walaupun hanya sebesar bijian kering


********************************************

Khutbah: Palestin Memanggil Kamu Pulang Kepada Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sekali lagi, umat Islam sedunia dihidangkan dengan pusingan seterusnya kekejaman regim Zionis ke atas umat Islam dan manusia di bumi Palestin. Kekejaman yang melampaui batas fikiran manusia, yang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengiyakan apa yang diamarankan oleh al-Quran, tentang fasad besar-besaran pusingan kedua yang dicetuskan oleh kaum Yahudi ini.


Firman Allah SWT:

“Dan telah Kami nyatakan kepada Bani Israil di dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau” [al-Israa' 17: 4]

Para ahli Tafsir kontemporari menyetujui bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi ini adalah semasa mastautin mereka di bumi Yathrib. Mereka menguasai politik, ekonomi dan sosial di kota tersebut, bongkak dengan impian mereka bahawa Nabi akhir zaman akan diutuskan sekali lagi daripada keturunan mereka, dan seterusnya memanfaatkan kebodohan kaum Aus dan Khazraj lalu melaga-lagakan dua kelompok kaum Arab ini hingga berperang sesama sendiri, mencecah suatu tempoh yang amat panjang.

Kerosakan pertama ini mencapai kemuncaknya, apabila mereka secara rasmi menolak Kenabian Rasul akhir zaman, tatkala tibanya Muhammad bin Abdullah ke kota Yathrib di dalam peristiwa Hijrah. Meleset sekali impian mereka, bahawa Allah telah menetapkan bahawa kaum yang banyak membunuh Nabi dan Rasul ini hilang kebanggaan buta mereka, apabila penutup segala Nabi dan Rasul, diutuskan daripada kaum Arab berketurunan Ismail ‘alayhi al-Salaam, iaitulah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Firman Allah SWT:

“Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat keras serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (untuk menyerang dan mengusir kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang benar-benar berlaku” [al-Israa' 17: 5]

Sidang Jumaat, rahimakumullah…

Misi menghadapi kaum Yahudi yang tidak pernah jemu menyebarkan kerosakan di muka bumi biar pun telah diberi peluang berkali-kali oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, disempurnakan oleh umat Islam dengan pengusiran mereka dari bumi Khaybar pada bulan Muharram tahun ke-7H.

Semenjak itu, kaum Yahudi hidup berpeleseran dan sukar diterima di mana-mana sahaja penempatan di muka bumi, di bawah mana-mana kuasa pemerintah, disebabkan oleh perilaku mereka sendiri yang tidak henti-henti mencetuskan fasad di muka bumi.

Namun, di sepanjang sejarah itu, kuasa pemerintah Islam jugalah, dengan keluasan rahmat dan toleransinya menghulurkan bantuan bersyarat kepada kaum Yahudi, termasuklah semasa mereka berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai di bumi Andalus pada 1492 oleh kuasa Kristian. Kerajaan Islam Turki Othmaniyyah mempelawa mereka untuk mendapat perlindungan duduk di bawah pemerintah Islam, tetapi Yahudi tetap Yahudi, mereka menjadi duri dalam daging hingga akhirnya berperanan sebagai kelompok terpenting yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Othmaniyyah. Yahudi Donme yang hidup talam dua muka, menjadi lubang kebocoran bagi negara Islam terakhir itu, hingga legasi Islam ribuan tahun, tamat secara rasminya pada tahun 1924.

Sidang Jumaat sekalian,

Kejatuhan kerajaan Islam terakhir itulah, titik utama kepada terlepasnya bumi Palestin dari wilayah Islam. Sehingga kini, bumi Palestin itu terus bermandi darah, setiap anak yang dilahirkan, adalah seperti sudah tersurat bahawa mereka bakal menjadi mangsa kekejaman penjajah Zionis yang terus menerus membelakangkan kemanusiaan, menghancurkan apa dan siapa sahaja yang menghalang cita-cita mereka untuk menegakkan negara Zionis dari tebing Furat ke Sungai Nil.

Itulah ’sumbangan’ Yahudi.

Kerosakan demi kerosakan.

Dan Allah SWT telah menetapkan, bahawa kitalah pada hari ini yang berdepan dengan kerosakan besar-besaran pusingan kedua, sebagaimana yang telah dicatatkan di dalam ayat yang saya bacakan tadi.

Jamaah kaum Muslimin sekalian,

Apakah tindakan kita? Apakah cukup dengan hanya menggelengkan kepala, menanti isu ini pudar daripada siaran media selepas seminggu dua, dan kemudian menggelengkan kepala lagi untuk pusingan yang seterusnya?

Sesungguhnya, kita mempunyai 3 bentuk tindakan yang menanti perlaksanaan.

Tindakan pertama, adalah dengan MENGECAM.

Kita boleh dan perlu untuk membuat kecaman. Membantah dan menyuarakan penentangan kita terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin. Sama ada kecaman itu dibuat dalam bentuk demonstrasi, ucapan, khutbah dan penulisan, kecaman mesti diteruskan.

Kecaman ini boleh menjustifikasikan sokongan dan kebersamaan kita dengan saudara-saudara seagama di bumi Palestin. Ia juga menjadi bukti terhadap kepedulian kita. Ia menjadi tanda bahawa kita bukan terdiri dari kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah dengan perumpamaan buruk sebagai BINATANG TERNAK.

Firman Allah SWT:

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]

Binatang ternak tidak pernah peduli kepada pisau yang sedang diasah untuk menyembelihnya. Binatang ternak hanya memerhatikan rumput dengan penuh nafsu terhadap perutnya. Binatang ternak adalah perumpamaan kepada manusia yang diberi mata tidak melihat, diberi telinga tidak mendengar. Apa yang mereka pedulikan hanyalah lima rukun hidup iaitu MAKAN, MINUM, KERJA, REHAT dan KAHWIN.

Semoga dengan kecaman dan bantahan yang dibuat, menjadi saksi di hadapan Allah, bahawa kita adalah manusia, bukan binatang yang tidak punya rasa peduli dan peka.

Namun kecaman bukanlah tindakan yang terbaik oleh seorang mukmin.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Arahan Nabi Muhammad sallalaahu ‘alayhi wa sallam terhadap tindakan kita mencegah kemungkaran, bukan sekadar mengingkarinya dengan hati, atau menegahnya dengan lisan, tetapi bertindak dengan tangan untuk MENGUBAH keadaan. Tindak balas kita mestilah ada upaya untuk mengubah keadaan, dan kecaman masih jauh dari mampu mencetuskan perubahan itu.

Sidang Jumaat rahimakumullaah,

Tindakan kedua yang mesti kita lakukan untuk bertindak terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin adalah selepas MENGECAM adalah MENCEGAH.

Mencegah boleh berlaku dalam beberapa bentuk.

Cegahan pertama adalah pada usaha mengelakkan diri untuk menjadi mangsa kepada kemungkaran itu. Ia mungkin boleh diertikan sebagai tindakan untuk berhijrah meninggalkan tempat di mana kemungkaran itu berlaku.

Ia mungkin berupaya menyelamatkan diri kita buat sementara, tetapi ia tidak akan dapat menamatkan kemungkaran itu daripada terus menerus berleluasa. Dan segala puji bagi Allah, saudara kita di bumi Palestin tidak bertindak melarikan diri. Jika mereka tidak punya semangat yang kuat untuk mempertahankan diri dan maruah Islam, sudah pasti mereka bertempiaran lari menjadi pelarian di bumi asing.

Namun Allah anugerahkan bumi itu dengan manusia yang kental jiwa. Mereka terus bertahan. Biar pun hanya dengan lastik dan batu, berundur tidak sekali-kali! Sama ada menang, atau syahid fi sabillah.

Mencegah yang kedua pula, boleh diertikan dengan tindakan kita mengekang diri daripada menjadi sebahagian daripada kemungkaran itu. Kita harus bertindak untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian daripada kekuatan regim Yahudi di bumi Palestin. Dan tindakan ini boleh dijustifikasikan dengan kempen boikot.

Secara individu, kita boleh menyekat diri daripada menggunakan barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi regim Yahudi Zionis itu.

Firman Allah SWT berkenaan dengan hal ini:

“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya” [Al-Israa' 17: 6]

Di era kerosakan kedua oleh kaum Yahudi ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kekuatan mereka adalah hasil yang diperpanjangkan kepada mereka berupa harta kekayaan dan sumber tenaga manusia. Ayat ini amat jelas menunjukkan kepada kita, bahawa regim Yahudi Zionis hari ini menjadi kuat hasil sokongan luar yang mereka terima.

Sokongan itu tidak lain dan tidak bukan adalah daripada negara Polis Dunia iaitu Amerika Syarikat.

Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa regim Zionis yang menjajah bumi Palestin menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.

Kekuatan utama rejim Zionis di Palestin adalah sokongan Amerika Syarikat. Negara kuasa besar dunia itu berupaya memanipulasi kewangannya sendiri untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada rejim Zionis hasil kombinasi beberapa pihak, khususnya media di Amerika Syarikat yang tidak melapor, melapor secara simplistik, atau memberikan laporan yang salah, untuk mengawal kefahaman penduduk Amerika Syarikat tentang isu Palestin.

Maka tindakan memboikot barangan yang menyumbang kepada kekuatan ini, tindakan menghentikan penggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat adalah tindakan mencegah yang boleh memberikan kesan kepada hal ini, jika umat Islam dan seluruh warga manusia yang prihatin bersatu padu menjayakannya.

Sidang Jumaat sekalian,

Walau bagaimana pun, tindakan mengecam dan mencegah masih belum mencapai standard yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kita. Bahawa kemungkaran mesti menerima tindak balas yang bersifat MENGUBAH.

Perubahan itulah yang mesti diperhatikan oleh kita semua.

Apakah kekalahan demi kekalahan yang menimpa umat Islam selama ini berlaku tanpa sebab?

Apakah kejatuhan kuasa Islam hanya disebabkan oleh faktor luar?

Sesungguhnya mencela kaum Yahudi yang melakukan kerosakan, tidak lebih daripada sekadar kata pepatah Melayu, SEPERTI MARAHKAN ANJING MENYALAK BUKIT. Yahudi dan kerosakan sudah sinonim, maka janganlah kita sekadar marahkan Yahudi, sebaliknya cerminlah diri kita, apakah yang sedang berlaku kepada umat Islam sendiri?

Kaum Muslimin rahimakumullaah,

Menjawab soalan ini, saya teringat kepada apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Jika kita membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan oleh al-Quran. Maka orang-orang Kristian hari ini adalah orang Nasrani sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Muslim ilusi berdepan dengan Nasrani realiti.

Muslim ilusi berdepan dengan Yahudi realiti.

Realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Ramainya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita sedikit, dan jumlah itu semakin sedikit apabila saudara-saudara kita berbondong-bondong murtad meninggalkan kita.

Kayanya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita miskin. Kita miskin jiwa, miskin daya juang dan kemiskinan itu semakin miskin apabila saudara-saudara kita tidak mampu mengawal jual beli harta mereka sendiri yang selama ini mengkayakan musuh.

Cerdiknya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita bodoh. Kita masih dibelenggu oleh persoalan-persoalan yang bodoh dan tidak langsung menghasilkan sebarang hasil. Kebodohan kita menjadi semakin bodoh apabila kita tenggelam dalam tajuk-tajuk debat sesama kita yang langsung tidak menggambarkan yang kita sedang berada di medan perang.

Bersatunya kita hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya kita berpecah. Hati-hati kita terlalu mudah untuk diungkaikan ikatannya. Penyakit hati kita sangat menjijikkan. Berpecah belah hanya kerana secawan kopi. Pecah belah rumahtangga, pecah belah jiran tetangga, pecah belah masyarakat sedesa, pecah belah antara negara, perpecahan kita dari hujung daun hingga ke akar umbi.

Ya, jika al-Quran yang menjadi pengukurnya, maka Yahudi di Palestin itu adalah realiti. Nasrani di Rumah Putih itu adalah realiti. Namun umat Islam yang mengelilingi Rumah Hitam di Masjidil Haram itu hanyalah ilusi. Dan ilusi akan terus dikalahkan oleh realiti.

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

Tragedi di Gaza adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.

Islam yang tulen.

Ibu bapa didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah. Fahamkan mereka siapa Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk Allah. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.

“Dan jika kamu kembali, maka Kami pula akan kembali ..” [al-Israa' 17: 8]

Kembalilah kepada Allah, agar Allah kembali kepada kita dengan bantuan dan kemenangan!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Surau (Jumaat) al-Munir, Sri Kembangan
12 Muharram 1430H / 9 Januari 2009

****************************************************

Lantai mozek:
'Izzahkah kita dengan Islam yang kita anuti ini?
Janganlah ia sekadar warisan
Jauhkanlah kami dari menjadi seperti binatang ternak
Wallahua'lam

Leia Mais…

07 January 2009

Muhasabah 1429 H @ 2008

Ini entri pertamaku untuk tahun 1430 h, sekaligus juga untuk tahun 2009.
Bila disemak balik blog ‘Lantai Mozek’ kepunyaan aku ini, baru aku sedar, aku tidak banyak memasukkan entri. Tahun 2008 hanya menyaksikan beberapa belas sahaja. Kebanyakan entri yang ditaip dan disimpan dalam ‘Word’ kekal disimpan di dalam ‘pen drive’, ataupun laptop. Sangat kurang, berbanding dengan sahabat-sahabat lain, yang aku senaraikan dalam ‘Blogger List (Lantai Mereka)’, mahupun yang sering kukunjungi tetapi tidak disenaraikan. Oh, aku masih belum semantap mereka.

Bila kusemak balik hasil tulisan simpananku yang hajat pada mulanya untuk diposkan sebagai entri, aku merasakan aku belum bersedia untuk mengeposnya, atas beberapa sebab, sebagai contoh, aku rasakan tidak sesuai dengan mood pada masa itu, ataupun, tidak sesuai dengan mood sahabat-sahabat yang mengunjungi blogku. Lagipun, aku belum pernah mewarwarkan kewujudan blog ni kepada sahabat-sahabat lain, melainkan beberapa rakan sekelas dan junior sepengajian, dan beberapa sahabat lain.

Oh, tapi bila kusemak balik apa yang telah aku buat sepanjang tahun 2008, aku dapati satu perkara. Aku semakin sibuk. Sejak aku kecil, hinggalah sekarang, aku bertambah sibuk.

1998-UPSR: sepanjang ingatanku, aku hanya membuka dan membelek buku rujukan sains, dan menghadiri kelas tambahan di sekolah. Seronok.

2001-PMR: Aku semakin takut dengan exam professional sebegini. Aku semakin rajin membuat latihan, tanpa disuruh, tetapi sempat tidur sekali-sekala semasa prep di kelas. Buat nota sikit-sikit.

2003-SPM: Aku cuba buat yang sehabis baik. Kadang-kadang tak tidur malam lebih-lebih lagi semasa ujian semester dan sebagainya. ‘Nescafe’ jadi peneman di kala selepas maghrib.

2004-Tamhidi(matrikulasi): Aku baru mengetahui bahawa itulah cara rakan-rakanku belajar. Sangat...sangat....dan aku semakin menghampiri daerah ‘nerdy’. Tetapi masih ada masa untuk berbicara, keluar, kerja-kerja lain, dan sebagainya.

2006-(1st professional exam semasa di tahun 2): Aku sangat-sangat takut. Tidur tidak sampai sejam semasa exam.

2007-(2nd Proffesional, tahun 3): Aku sudah berani menghadapi exam. Aku sudah mula tidur dengan cukup di kala exam. Namun, hari-hariku sepanjang di tahun 3 bertambah sibuk. Dengan pelbagai komitmen lain di luar, yang tidak sahabat-sahabat semua jangkakan.


2008-(Clinical year-Tahun 4) : Oncall lebih kurang 3 days perweek. Oncall paling teruk pernah kujalani ialah yang berakhir sehingga sebelum Subuh keesokan harinya. Saat paling mendebarkan ialah bila masih belum memutuskan lagi kes mana yang sesuai sedangkan beberapa jam lagi saat untuk Case presentation. Sekali-sekala menyimpan perasaan kerana mengalah dengan beberapa pihak. Hari-hariku di tahun 4 semakin sibuk sebenarnya. Masih, dengan komitmen-komitmen yang juga pelbagai .

2009 dan seterusnya: Aku menjangkakan kehidupan kan bertambah sibuk. Ditambah dengan aku menyibukkan diriku lagi.


Kesimpulannya, kesibukan sentiasa boleh dijadikan alasan. Kesibukan pasti bertambah, kita akan bertambah sibuk. Seperti lakaran kasarku di bawah,


2011: Houseman officer, kerja 36 jam, rehat 12 jam. Jika sudah berkeluarga, ditambah dengan pelbagai komitmen lain.. Oh, di manakah kehidupan?

2013: Berkira-kira memohon tempat sebenar dipostingkan sebagai Medical Officer. Anak 2 orang. Komitmen luar bertambah dan bertambah dan bertambah.


Setahun usia kita bertambah, maka berkuranglah setahun usia kita di dunia ini.

Justeru, manfaatkan waktu sekarang (yang tidak berapa sibuk) untuk lakukan perkara-perkara yang sudah menjadi kewajipan bagi kita. Kusimpan kepada sahabat-sahabat sekalian untuk berfikir, apakah kewajipan-kewajipan tersebut.

Selamat tinggal tahun 1429 Hijrah.

Kuteringat muhasabah yang pernah seorang ustaz kongsikan...

Dengan hayat yang singkat ni, macam mana nak tambahkan seorang mad’u kita?

Dengan hayat yang singkat ni, macam mana nak jelaskan pada jiran kita apakah Islam yang kita bawa?

Dengan hayat yang singkat ni, macam mana kita nak pastikan mati kita adalah mati syahid?

Dan di kala itu, kita masih hendak mengatakan kita sibuk, sebagai alasan..

Allah tak akan bertanya "What are the varieties of hypertensive disease in pregnancy?"
Tetapi Allah akan menyoal, "Apa yang kau buat di saat kau dipanggil untuk berdakwah, berjihad,memakmurkan bumi...(dsb)?"

**Al-fatihah kepada pejuang-pejuang Islam di Palestin, dan kepada rakyat-rakyat Palestin yang terkorban. Syahid pasti milik mereka, tetapi adakah syahid kan jadi milik hamba?

Al’mautu fi sabilillah asma’ amanina.

Leia Mais…