Dia yang menggantikan atuk
Orangnya saya kenal sejak kecil. Bahkan dia mengenali saya sejak saya berumur 3,4 tahun lagi.
Sebelum ini ayah dan umi menyewa rumahnya di Bangi kira-kira 20 tahun yang lepas. Dia yang berpangkat atuk ini akhirnya menjadi ayah mertua kepada adik umi. Kini rumah adik umi (Ibu Kiah saya panggil) yang terletak di Bangi itulah yang menjadi tempat persinggahan tatkala cuti pendek ataupun ketika tidak cukup pitih untuk balik sarawak.
Maka atuk ini sekarang menjadi datuk kepada sepupu-sepupu saya. Dan besan atuk sarawak saya. Baru 2 minggu yang lepas kami diberitakan dia telah pengsan berhampiran kawasan rumahnya. Lalu dimasukkan ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut. Seterusnya Tok Amit (ini panggilan kami kepadanya daripada nama asal Abdul Hamid) dipindahkan ke Hospital Serdang ditempatkan di CCU (Cardiac Care Unit/Unit Rawatan Jantung).
Umi berpesan pada saya, selesai sahaja exam jenguklah atuk di hospital, kondisinya semakin tidak baik.
"Awak dah tak ada atuk lain dah, tu je 'atuk' yang awak ada. Pergilah tengok dia kat wad, tak boleh tunggu lama-lama."
Akhirnya saya menyempatkan diri menziarahi Tok Amit di CCU. MasyaAllah, mungkin komplikasi daripada penyakit kencing manis yang dihidapi, jantungnya lemah. Dia diberi rawatan ubatan inotrope... untuk menguatkan kontraksi jantung. Dan daripada jantung yang lemah itu, muka dan tangannya bengkak, tandanya air telah memasuki celahan-celahan tisu yang mampu dicapai. Dan Tok Amit juga mendapat diuretics untuk menangani fluid overload tersebut. Tak sempat saya mengetahui masalah penyakitnya.
Terdetik kembali saat arwah atuk saya sendiri 5 tahun yang lepas, semasa hampir menemui tuhanNya, tubuhnya juga bengkak, kuning seluruh badan.
Sepanjang berada di CCU, Tok Amit tak sedarkan diri. Saya hanya terdiam dan memerhatikan sahaja tanda-tanda komplikasi yang nampak. Pandangan saya kelihatan kosong ketika menyoroti segala wayar dan tiub yang disambung pada batang tubuhnya. Tapi belekan pada setiap bacaan, ubat, sebenarnya saya sedang berkira-kira apakah masalahnya.
Tidak sopan rasanya bertanyakan staff nurse apakah diagnosis beliau di hadapan cucunya sendiri. Dan yang paling penting Tok amit yang terbaring itu juga mungkin boleh mendengar walaupun tidak sedar.
Walaupun vital signs menunjukkan tanda-tanda stabil, yakni tekanan darah yang normal, kepekatan oksigen darah yang normal, denyutan nadi pun normal, hati kecil saya berkata sampai bilalah kesemua ini mampu bertahan. Tapi tak mampu nak melawan ketetapanNya bahawa apa-apa sahaja yang luar biasa boleh berlaku.
Nyawa hanya pinjaman
Akhirnya Tok Amit sudah tidak mampu bertahan. Alam yang lagi satu akhirnya menggamit memanggil. Beliau meninggalkan kesemua anak, dan isteri yang menunggunya di wad di saat-saat akhirnya. Siapa sangka dia yang tampak sihat dan ceria selama ini setelah tidak sedarkan diri selama 2 minggu, telah dijemput menemuiNya. Tak sangka, baru sahaja 3 minggu yang lepas saya dan sepupu mengunjungi rumahnya, melihat ternakan kambing, ayam, dan hari ini dia meninggalkan kami.
Selalunya aidiladha yang saya sambut bersama keluarga Ibu Kiah di Bangi, Tok Amit tak akan terlepas daripada melakukan ibadah korban. Siapa sangka hari ini disuratkan dia tidak lagi akan bersibuk-sibuk menambat sapi di belakang rumahnya untuk Hari Raya Haji tahun ini. Tiada siapa lagi yang akan kelihatan menemani Nek Timah menghambat kambing-kambing pulang ke kandang ketika maghrib seperti selalu.
"Muka pada hari itu berseri-seri,
berpuas hati dengan balasan amal usahanya,
mereka tinggal di dalam syurga yang tinggi,
tidak mendengar sebarang kata yang sia-sia.
Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir,
ada pelamin berhias yang tinggi.
Dan piala minuman yang disediakan,
dan bantal yang teratur,
serta hamparan yang terbentang."
Al Ghasyiah : 8-16
Segan menyayanginya seperti atuk sendiri, kerana beliau hanyalah datuk kepada sepupu-sepupu saya. Tetapi itulah yang dirasai di pundak hati, kami adik-beradik menyayanginya seperti datuk kami sendiri. Beliau rapat dengan besannya iaitu atuk sarawak kami. Walaupun jauh Selangor dan Sarawak, sekiranya berkesempatan, beliau akan mengunjungi atuk di kampung kami di pedalaman Miri. Dan beliaulah yang menawarkan diri menguruskan majlis kesyukuran Izaidah beberapa bulan yang lepas.
Moga kebaikan-kebaikannya selama ini diambil kira dan diterima sebagai pahala. Tidak perlulah disebutkan kebaikan beliau, kerana Allah lah yang lebih berhak menilai. Melihatkan penziarah-penziarah yang tidak putus-putus berkunjung ke CCU sudah menunjukkan betapa ramai yang mengingatinya sebagai penyumbang kepada kembangnya syiar Islam di tempatnya.
Kullu nafsin zaiqatul maut....ila akhir ayah.
"Sesungguhnya yang hidup pasti akan merasa mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Sesungguhnya mati itulah yang paling dekat dengan kita. Teringat pesan seorang guru, menurutnya arwah Ustaz Fadhil Noor pernah berpesan supaya rancanglah dalam keadaan apa kita hendak nyawa kita diambil kelak. Rancanglah seni kematian anda, begitulah yang saya faham daripada kata guru tersebut.
Yang baik tak semestinya berakhir baik
Dan tak semestinya kita yang merasa kita ini baik, matinya nanti adalah pengakhiran yang baik.
Dan tidak semestinya orang yang kita pandang rendah selama ini atas 'tidak baiknya' dia, matinya nanti adalah pengakhiran yang tidak baik.
Ia mungkin sebaliknya. Mungkin yang selama ini merasa amalnya cukup, sebenarnya tidak ikhlas dalam amalan. Atau diuji dengan maksiat dan tidak sempat bertaubat, maka matilah orang ini dalam keadaan tidak sempat bertaubat. Nauzubillah.
Mungkin yang selama ini dikatakan jahat, diberi kesempatan bertaubat, atau berubah menjadi lebih baik. Berolehlah ia pengkhiran yang baik.
Sepertimana tak semestinya Ah Chong akan masuk neraka, dan tak semestinya Ahmad masuk syurga.
Al-fatihah kepada arwah atuk Haji Abdul Hamid Bin Dina
Allahumma takhtim 'alaina bihusnil khaatimah
02 November 2009
Al-Fatihah
Subscribe to:
Posts (Atom)